suria

[V] Bimbang keselamatan anak punca bekas madu Miera Liyana fail tuntutan ubah perintah interim hadanah

BEKAS madu kepada pelakon Miera Liyana iaitu Adibah Abd Mutalib memfailkan tuntutan mengubah perintah interim hadanah (sementara) terhadap anak perempuannya iaitu Nur Anisa pada Rabu.

Menurut Adibah, tindakan itu dilakukan selepas remaja berusia 13 tahun itu memberitahu enggan pulang ke rumah bapanya sejak Januari lalu.

Adibah bagaimanapun akur apabila bekas suaminya iaitu Rosland Othman, 51, tidak memberikan kerjasama baik dan membantah tuntutan berkenaan.

WhatsApp Image 2024-06-12 at 12.14.49

Rosland hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Rabu.

"Saya akur dengan keputusan mahkamah yang membantah tuntutan saya kerana interim hadanah berpihak kepada ayah dia.

"Saya lakukan ini atas permintaan Anisa sendiri yang cakap sejak Januari lagi nak tinggal dan duduk bersama saya. Berkali-kali dia cakap pada saya," katanya kepada mStar.

Adibah memaklumkan mengenai perkara itu selepas selesai perbincangan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie Zuriadah Ayob di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas madu Miera Liyana puas hati menang kes nusyuz, permohonan plaintif ditolak mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Anak tiri Miera Liyana reda kereta Mini Cooper kena tarik, sampai sekarang bapa masih ‘block’ nombor telefon

Adibah bagaimanapun enggan mengulas punca anaknya itu tidak mahu pulang ke rumah bekas suaminya, namun dia mengakui bimbang terhadap keselamatan dan kesihatan mental Anisa.

"Saya pentingkan kebajikan dan keselamatan anak sebab itu saya usulkan perkara ini. Dia bersama dengan saya sejak 24 Mei lalu... dengan rela hati dia tak mahu balik rumah ayah dia.

"Saya tak nak kongsi lebih tapi saya pentingkan kesihatan mental dia juga. Kalau dia trauma tentu akan beri kesan kepada saya juga," ujarnya.

Saya pentingkan kebajikan dan keselamatan anak.

Adibah

Bekas madu Miera Liyana

Dalam pada itu, Adibah turut memberitahu dia sudah membuat laporan polis kerana ingin mengelak didakwa menjadi penghasut anaknya itu.

"Saya buat laporan polis pada 4 Jun lepas untuk menyatakan bukan saya menghasut tapi kemahuan dia sendiri sebab ada perkara yang dia alami di sana," kongsinya.

Sementara itu, Rosland yang hadir ditemani peguam iaitu Datuk Seri Amli Embong dan ibu mentuanya, Aisah Abdullah, memilih mengunci mulut berhubung perkara tersebut.

WhatsApp Image 2024-06-12 at 12.14.34

Adibah saling berpelukan dengan anak-anak di luar mahkamah.

Mereka meninggalkan mahkamah tanpa memberikan sebarang kenyataan.

Untuk rekod, Adibah, 51, dan Rosland mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 bagaimanapun berpisah pada 3 Ogos tahun lalu dengan talak satu.

Selain Anisa, pasangan ini juga memiliki tiga orang anak lain iaitu Nur Izzah, 27, Nur Iffah, 24, Nur Liyana, 18, dan Nurin Tasnim berusia 12 tahun.

Rosland bernikah dengan pelakon Miera pada 25 Julai 2020 dan dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain