suria

Kekok nak ambil gambar berdua, Ajak anggap pertemuan dengan Shahrol Shiro sempena Aidiladha kali ini paling bermakna

Ajak dan Shahrol kembali berbaik.

PERTEMUAN bersama Shahrol sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada Isnin lalu menjadi kenangan paling bermakna buat penyampai radio Suria FM iaitu Ajak selepas sekian lama mereka tidak bertegur sapa.

Kata Ajak atau Mohd Hanafi Razak, 39, meskipun mereka pernah berjumpa tahun lalu, namun kali ini terasa sungguh berbeza sekaligus menamatkan salah faham yang pernah terjadi antara mereka berdua sebelum ini.

"Tahun lalu kami ada berjumpa namun selepas itu tidak lagi berhubung. Raya Aidiladha kali ini sekali lagi Shahrol ajak berjumpa dan saya datang ke pejabatnya di mana hanya kami berdua sahaja bersembang.

ajak 1

Ajak dan Shahrol sempat berkongsi kenangan lama bersama Shiro.

"Perjumpaan kali ini memang terasa berbeza. Saya melihat dia dan kami pun sama-sama semakin meningkat usia. Buat apa sekadar berbaik namun tidak bertegur? Jadi runtuhkan ego masing-masing dan kami kembali berbaik.

"Apa yang terjadi sebelum ini saya tidak pernah anggap sebagai sengketa atau perpisahan cuma mungkin salah faham dan terasa hati antara dua sahabat baik," katanya ketika dihubungi mStar.

Ajak dan Shahrol sebelum itu berkongsi detik pertemuan mereka di laman sosial masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan terus ‘bogelkan’ isu dengan Ajak, Shahrol Shiro kata dialah sahabat paling rapat

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Ajak buka kisah lama dedah sikap Shahrol... suruh tolak tawaran Era tapi dia ambil peluang itu

Bercerita mengenai pertemuan itu, Ajak memberitahu mereka sempat berkongsi kenangan lama ketika sama-sama aktif sebagai pelawak dalam kumpulan Shiro.

Kata Ajak lagi, pada awalnya dia agak kekok untuk merakamkan gambar bersama namun akhirnya bersetuju untuk dijadikan kenangan mereka berdua.

"Tahun lalu kami tidak rakam gambar bersama. Shahrol pun bukanlah seorang yang suka bergambar. Tetapi kali ini rasanya kami nak ambil gambar bersama walau pada awalnya agak kekok. Saya anggap gambar kami berdua itu cukup bernilai.

Buat apa sekadar berbaik namun tidak bertegur? Jadi runtuhkan ego masing-masing dan kami kembali berbaik

AJAK

PENYAMPAI RADIO

"Banyak kenangan lama kami kongsikan. Saya melihat satu sudut di mana kejayaan bersama Shiro sebelum ini. Tak sangka rupanya dahulu kami pernah jadi sebuah kumpulan yang hebat.

"Semoga pertemuan ini juga memberi impak kepada orang lain yang mungkin melalui jalan sama seperti kami. Sampai bila tidak mahu bertegur. Selagi ada kesempatan, lebih baik minta maaf," ujarnya.

ajak 3

Ajak dan Shahrol bertemu sempena sambutan Aidiladha.

Ajak bagaimanapun berkata dia tidak melihat pertemuan itu sebagai petanda mereka akan kembali aktif di pentas lawak dan kembali bersatu sebagai kumpulan Shiro.

"Ada tawaran yang datang kepada kami. Namun kalau nak buat comeback biarlah betul-betul memberi manfaat. Kami akan kembali bila perlu. Sekarang pun masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri," jelasnya.

Salah faham antara Ajak dan Shahrol sebelum ini menjadi bualan ramai selepas mereka saling berbalas kenyataan di sosial media sekitar tahun 2022.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain