suria

[V] Konsert terakhir angkat konsep monolog dan teatrikal, Awie bakal kongsi perjalanan sebagai anak seni

LEBIH 30 tahun bergelar penghibur, penyanyi Datuk Awie sudah melalui pelbagai detik manis dan pahit sepanjang kariernya.

Cerita Awie atau Ahmad Azhar Othman, 56, pemergian ibu tercinta iaitu Allahyarham Azizah Abdul Hamid akibat sakit tua pada 12 Disember 2014 paling meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya.

Mana tidaknya, dalam menanggung kesedihan dia terpaksa mengukir senyuman apabila meneruskan persembahan teater Takhta Tiga Ratu yang berlangsung sehari selepas pemergian ibunya.

"Paling menyedihkan sewaktu pemergian ibu tersayang. Hari ibu saya meninggal dunia, sebelah malamnya saya sudah kena naik atas pentas teater Takhta Tiga Ratu arahan Erma Fatima.

Awie 3

Rozario Rasul (bawah, kiri) bakal bertindak sebagai pengarah muzik.

"Tapi kerana Erma ada rasa simpati, malam itu saya dapat selesaikan tanggungjawab saya sebagai seorang anak (menguruskan jenazah) dan persembahan itu ditunda," katanya kepada mStar.

Awie berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media konsert Journey Awie: Kombinasi Monolog dan Persembahan Teatrikal Rai 30 Tahun Perjalanan Karier Seni yang diadakan pada Khamis.

Konsert berkenaan bakal berlangsung pada 3 Ogos depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

Dalam pada itu, Awie berkata, itu antara kisah bakal dikongsikan pada konsert itu nanti selain banyak lagi cerita tentang perjalanannya yang tidak diketahui peminat.

ARTIKEL BERKAITAN:Tiada apa lagi nak dikejar sebagai artis, Awie mahu lebihkan masa untuk anak-anak

ARTIKEL BERKAITAN:Awie tak patah semangat untuk terus bikin filem, kesal penonton bandingkan ‘Rebel’ dengan karya bajet besar

Kata Awie, pada konsert itu nanti, dia bukan sahaja mahu peminat menikmati nyanyiannya sebaliknya merasai perasaan di sebalik senyuman ketika dia berada di atas pentas.

"Konsert kali ini saya nak beri penonton merasai keluhan menjadi seorang penyanyi. Banyak perkara yang kita terlepas pandang dan banyak benda perlu dikorbankan.

"Banyak benda mereka tidak terfikir, mereka tak tahu. Kesedihan orang tak nampak sebab tugas kita menghiburkan penonton.

"Saya mahu hiburkan orang tapi apa di dalam hati ketika itu tiada siapa tahu," ujarnya.

2

Awie memberitahu ini adalah konsert terakhirnya.

Bercerita lanjut mengenai konsert tersebut, Awie berkata, ia merupakan konsert solo terakhirnya dengan gabungan monolog dan persembahan teatrikal dalam menceritakan perjalanan 30 tahun sebagai anak seni.

"Konsert ini bakal meninggalkan satu kenangan paling manis buat semua peminat.

"Tema dan konsep unik yang tak pernah dipersembahkan sebelum ini merupakan bingkisan peribadi dari saya untuk semua," katanya.

Saya mahu hiburkan orang tapi apa di dalam hati ketika itu tiada siapa tahu.

AWIE

PENYANYI

Pada konsert itu juga, Awie bakal mempersembahkan lebih daripada 20 buah lagu popular daripada album solonya iaitu Awie (1994), O-Tak (1996), Satu (1998), Rentap (2000) dan Santai (2005).

Konsert itu juga bakal diketuai oleh Rozario Rasul yang bertindak sebagai pengarah muzik selain Ritz MetalAsia (Guitar 1), Addy Cradle (Guitar 2), Fly Halizor (Bass), Ujang Exist (Drum), dan Pa'ang Zaman (Percussion).

Sementara itu, Awie terkejut apabila mendapat tahu tiga kategori tiket iaitu Platinum (RM418), Gold (RM288) dan Silver (RM218) sudah pun habis terjual hanya dalam masa beberapa jam.

Awie 2

Awie dan barisan pemuzik konsertnya yang bakal berlangsung pada 3 Ogos depan.

Disebabkan permintaan yang tinggi, Awie bersama pihak penganjur iaitu TruePixel Sdn. Bhd mengambil keputusan membuka kategori tiket baru iaitu Ruby yang dijual pada harga RM 518 buat peminat.

"Saya terperanjat apabila dimaklumkan tiga kategori utama tiket habis dijual hanya dalam masa beberapa jam.

"Oleh kerana permintaan tinggi daripada peminat, kami membuka kategori baru agar peminat yang tak sempat buat pembelian, boleh mendapatkan tiket," katanya.

Peminat yang ingin menyaksikan Journey Awie: Kombinasi Monolog dan Persembahan Teatrikal Rai 30 Tahun Perjalanan Karier Seni boleh membeli tiket di laman web Pixeltix.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain