KOLABORASI portal mStar dan KPJ Healthcare menyantuni lapan selebriti dan individu terpilih dalam usaha membantu meringankan beban mereka ketika diuji cabaran getiri mendapat maklum balas positif penonton. Musim kedua mStar Baek berjaya mencacat jumlah tontontan sebanyak 10 juta di semua platform digital mStar termasuk YouTube, Facebook, Instagram dan TikTok sejak ia disiarkan pada Mac lalu. Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah berkata, segmen ini tercetus selepas ada penggiat seni dilanda kesusahan dan tidak dipedulikan lagi sedangkan mereka pernah menabur bakti kepada masyarakat menerusi bakat masing-masing. Antara yang hadir di Majlis Penyerahan Sumbangan Jalinan Kasih Prihatin mStar Baek Kata Niezam, mStar yang banyak mengetengahkan perkembangan dunia seni hiburan tempatan berasa bertanggungjawab membantu golongan ini sementara KPJ Healthcare pula membekalkan keperluan lain termasuk nasihat pakar perubatan. "Jika tahun lalu pihak mStar bekerjasama dengan pengeluar produk kecantikan Noir Health & Beauty, kali ini KPJ Healthcare pula menunjukkan rasa prihatin dalam usaha membantu golongan memerlukan. "Walaupun sumbangan diberikan mungkin tidak seberapa namun bagi golongan ini ia benar-benar bermakna. ARTIKEL BERKAITAN: mStar dan KPJ Healthcare bawa klinik bergerak santuni gelandangan menerusi program Jalinan Kasih Prihatin mStar Baek ARTIKEL BERKAITAN: mStar papar 10 selebriti dalam kesusahan, program ‘mStar Baek’ mula bersiaran setiap Khamis "Di pihak mStar pula, kami mahu membuktikan kepada masyarakat, selain mengetengahkan kisah kehidupan artis dan orang ramai di portal kami, adalah menjadi keperluan untuk menolong individu yang besar jasanya dalam industri dan masyarakat. "Menariknya program seperti ini mendapat kerjasama yang baik daripada pihak-pihak dan agensi tertentu dalam usaha menunjukkan sikap kasih sayang terhadap golongan memerlukan," katanya. Niezam berkongsi perkara itu ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Jalinan Kasih Prihatin mStar Baek di Menara KPJ, Kuala Lumpur pada Selasa. Niezam ketika berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Jalinan Kasih Prihatin mStar Baek. Lebih 100 tetamu hadir memeriahkan acara termasuk Ketua Pegawai Kandungan Kumpulan Media Star, Datin Paduk Esther Ng, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, Ketua Pegawai Operasi KPJ Healthcare, Dr. Nik Fawaz Nik Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan KPJ Healthcare, Mohd Khairul Izzad Mohammed Shamsudin. Turut hadir, Pengarang Pengurusan The Star, Brian Martin dan Editor Eksekutif The Star, Tung Eng Hwa. Selain penyampaian sumbangan kepada penerima, acara turut diserikan dengan persembahan daripada artis popular seperti Amylea Azizan, Tom, Dwan (Olan) dan Izam EYE. Sementara itu, Chin Keat Chyuan berkata, pihaknya komited terhadap program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang digerakkan bersama mStar Izam Eye turut hadir dan melakukan persembahan untuk menghiburkan para tetamu. Kata Chin, seiring dengan slogan Care for Life, melalui program sebegini KPJ Healthcare dapat membantu golongan memerlukan dalam aspek penjagaan kesihatan tanpa mengira latar belakang atau status sosio ekonomi seseorang. "Kami berharap agar perkhidmatan disalurkan menerusi rangkaian Klinik Wakaf An-nur (KWAN) dapat memberi kesan positif dan manfaat lebih meluas kepada komuniti. "Kerjasama strategik bersama pihak mStar juga wajar diteruskan lagi pada masa hadapan supaya kita dapat menyantuni lebih ramai masyarakat setempat di luar sana," jelasnya. Musim kedua mStar Baek menyaksikan sebanyak lapan episod diterbitkan yang mana enam artis dipilih menerima sumbangan iaitu Izam daripada kumpulan Eye yang diuji masalah kesihatan selepas diserang strok pada 2019. Dwan, Tom dan Amylea antara artis yang membuat persembahan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Jalinan Kasih Prihatin mStar Baek Turut menerima sumbangan adalah bekas juara Pilih Kasih musim pertama iaitu pelakon Iqbal Mazlan yang hilang deria penglihatan dan Dwan (Olan) yang menderita penyakit angin ahmar dan sakit buah pinggang sejak Mac 2022. Selain itu, pelakon era 1980-an Isma Aliff yang dijangkiti kuman pada paru-paru antara enam penerima sumbangan; bapa kepada arwah Along (Spoon) iaitu Pak Engku yang menghidap diabetes sehingga kaki kanan dipotong sementara Allahyarham Jaafar Onn, berdepan beberapa masalah kesihatan. Sedihnya, selepas rakaman dan siaran episod pertama menampilkan Jaafar pada 29 Mac 2024, negara dikejutkan dengan berita pemergian artis versatil itu pada 3 April 2024. Tidak ketinggalan, Norazlina Zakaria wanita orang kurang upaya (OKU) yang suami terlantar akibat lumpuh turut menerima sumbangan atas semangat luar biasa beliau menjaga pasangannya. Iqbal antara penerima sumbangan program mStar Baek musim kedua. mStar Baek musim kedua dikendalikan oleh Penerbit Qarami Hashim bersama wartawan Faiz Izzat dan suntingan video oleh Muhammad Shahir Ramlee. Pada Ramadan lalu, mStar Baek bersama KPJ Healthcare juga sempat menyantuni gelandangan dan menghulurkan bantuan di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur untuk melihat kesusahan hidup mereka. Menjadikan program mStar Baek ini lebih istimewa, pihak KPJ Healthcare turut menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan percuma apabila pegawai perubatan dibawa menyantuni golongan berkenaan bagi mendapatkan khidmat nasihat kesihatan. Selain wang tunai berjumlah RM3,000, peserta terpilih turut menerima kad rawatan perubatan untuk membolehkan mereka dan seisi keluarga mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma di Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) yang disediakan oleh pihak KPJ Healthcare selama setahun. Sejak tahun 1998, KWAN memberikan penyediaan rawatan kesihatan kepada hampir dua juta pesakit melalui rangkaian 11 klinik statik, sembilan pusat dialisis dan 10 klinik bergerak di seluruh Malaysia. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON 8 EPISOD MSTAR BAIK INI!