PENYANYI rap Altimet menawarkan diri untuk membantu pasukan kelab bola sepak Selangor FC membayar denda susulan dikenakan tindakan susulan menarik diri dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu. Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 46, berkata, dia akan menyumbangkan separuh daripada hasil kutipan royalti harta intelek miliknya tahun ini bagi membantu pasukan berkenaan membayar denda. "Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bantu membayar denda tersebut sekiranya pihak Selangor FC sudi," katanya. Altimet sanggup memberikan separuh daripada kutipan royalti miliknya. Altimet berkongsi perkara itu menerusi ciapan yang dimuat naik di laman X miliknya pada petang Selasa. Menerusi ciapan itu juga, penyanyi lagu Amboi ini turut meletakkan tanda pagar #Selangorsampaimati bagi menunjukkan sokongan sepenuhnya buat kelab bola sepak tersebut. Rata-rata netizen menyokong niat baik penyanyi yang juga merupakan Adun Lembah Jaya ini dan memintanya membuka tabung untuk memberikan sumbangan bersama. ARTIKEL BERKAITAN: Otai Hip Hop masuk DUN! Altimet menang bergaya di Lembah Jaya... Penyanyi pertama jadi YB ARTIKEL BERKAITAN: Altimet letak harga tinggi cara tolak undangan menyanyi, kongsi 90 hari bergelar YB Lembah Jaya "Mantapnya YB (Yang Berhormat), saya yang bukan peminat Selangor FC pun terharu. Terima kasih. "Jom YB buka tabung, kami pun nak derma bayar denda," tulis netizen. Pada Selasa, pasukan Selangor FC dipotong tiga mata dalam aksi Liga Super selain perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) berlangsung tanpa penonton di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hukuman tersebut susulan penarikan diri pasukan itu pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu. Altimet menunjukkan sokongan penuh terhadap pasukan Selangor FC. Malah Selangor FC juga didenda sebanyak RM100,000 yang mana wang tersebut akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak. Pada 8 Mei lalu, Selangor FC menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih menentang JDT disebabkan faktor keselamatan kerana pihak mereka memandang serius segala ancaman yang diterima oleh beberapa pemain serta pegawai. Ia berhubung insiden pemain sayap Selangor FC iaitu Faisal Halim cedera parah disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor pada 5 Mei lalu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!