SELEPAS 28 tahun bergiat aktif dalam bidang muzik, kumpulan popular Indonesia Ungu ternyata masih berbisa apabila masih mampu memikat hati peminat di Malaysia. Buktinya, Ungu berjaya menghimpunkan 10,000 penonton pada Intimate Concert With Ungu yang diadakan di Spice Arena Pulau Pinang pada Ahad lalu. Pertama kali menghiburkan peminat di utara tanah air, kumpulan berkenaan turut meluahkan rasa berbesar hati dan terima kasih atas sokongan luar biasa penonton. Malah secara berseloroh, mereka turut meluahkan rasa teruja dapat berkunjung ke tempat asal nasi kandar dan dapat merasai keenakan hidangan berkenaan sepanjang berada di Pulau Pinang. 10,000 peminat hadir menyaksikan konsert Ungu di Pulau Pinang. "Terima kasih Pulau Pinang! Pertama kali berkunjung ke tempat asalnya nasi kandar. Kami semua sangat senang malah kenyang sepanjang berada di sini," kata mereka menerusi hantaran di Instagram. Konsert yang bermula pada pukul 8 malam tidak menghampakan apabila Ungu memberikan persembahan selama empat jam. Spice Arena turut bergema dengan 20 buah lagu popular mereka seperti Cinta Dalam Hati, Bila Tiba, Jika Itu Yang Terbaik, Demi Waktu dan Luka Disini. ARTIKEL BERKAITAN: Jiwa Kacau 2024 himpun 15,000 penonton, dapat pengiktirafan Malaysia Book of Records ARTIKEL BERKAITAN: Ziana Zain hiburkan lebih 5,000 peminat, sempat ‘video call’ bapa semasa konsert Seluruh arena turut bergema dengan sorakan apabila vokalisnya iaitu Pasha tampil dengan lagu seperti Andai Ku Tahu, Demi Waktu, Tercipta Untukmu dan Kekasih Gelap berkumandang. Malah peminat mengambil peluang menyanyi bersama lagu-lagu ikonik band berkenaan. Selain Pasha selaku vokalis, Ungu yang ditubuhkan pada 1996 turut dianggotai Enda yang bermain gitar, Oncy (gitar), Makki (Bass) dan Rowman (dram). Pasha mersa melayan peminat yang datang ke konsert Ungu. Tidak hanya lagu hit mereka, Ungu turut mengambil hati peminat dengan mempersembahkan lagu Suci Dalam Debu nyanyian asal kumpulan Iklim. Melihat sambutan luar biasa penonton, pengarah urusan Menara Network, Datuk Razif Asmuni selaku penganjur turut memberitahu itu bukan kali terakhir Ungu beraksi di Malaysia. Sebaliknya kumpulan tersebut bakal menjejakkan kaki ke Malaysia pada Julai ini bagi menghiburkan peminat di Selangor dan Johor. Ungu bakal muncul dengan persembahan di Agro Exposition Park Serdang (Maeps) pada 14 Julai ini kemudian ke Stadium Larkin, Johor pada 20 Julai 2024. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!