suria

[V] Marissa Yasmin lega tuntutan harta sepencarian selesai selepas 8 tahun turun naik mahkamah

SELEPAS lapan tahun turun naik mahkamah, pelakon Marissa Yasmin menarik nafas lega apabila kes tuntutan harta sepencarian dengan bekas suami iaitu Muhzir Mohd Zainuddin akhirnya selesai pada Jun lalu.

Kata Marissa atau Marissa Yasmin Mariam Yaakob, 47, bukan mudah dia melalui proses berkenaan sehinggakan pernah terfikir untuk menyerah dan berputus asa.

“Kes tuntutan harta sepencarian sudah selesai selepas lapan tahun. Mungkin nampak mudah sebab saya jarang kongsikan kekecewaan saya, tapi segala dugaan yang dilalui sudah tentu rasa penat dan putus asa sehingga saya pernah mempersoalkan kenapa diberi ujian sebegini.

NP-77

Kes tuntutan harta sepencarian Marissa bersama bekas suami sudah selesai.

“Tapi selagi mana Allah beri saya oksigen bermaksud saya kena tahu kenapa masih hidup dan jangan pernah mengaku kalah.

“Perit, tapi saya fikir mungkin itu asbab-asbab Allah nak beri yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya kepada mStar.

Marissa berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa tayangan perdana drama X-Change di TGV Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Tambah Marissa, tuntutan tersebut sudah dipersetujui di mahkamah dan proses perlaksanaan pembahagian tersebut perlu dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: 8 tahun turun naik mahkamah, Marissa Yasmin tak putus asa tuntut harta sepencarian

ARTIKEL BERKAITAN: Marissa Yasmin Tidak Mengeluh Diberi Watak Ibu Pada Usia Muda

“Belum dapat apa-apa tapi masih dalam proses pembahagian selepas pihak plaintif kemukakan rayuan pada tahun 2020.

“Sekarang cuma tunggu masa untuk pengagihan harta sepencarian tersebut mengikut peratusan yang sudah dipersetujui kedua belah pihak,” jelasnya.

Sementara itu, Marissa memberitahu keluarga merupakan sumber kekuatan untuk dia terus berjuang mempertahankan haknya.

“Keluarga saya adalah kekuatan saya. Mereka siap buat doa selamat dan kenduri untuk saya. Sudah tentu juga kepada Allah saya berdoa semoga urusan saya dipermudahkan.

NP-78

Keluarga sumber kekuatan Marissa.

“Bagi saya kasih sayang keluarga takkan pernah putus dan di situ saya dapat kekuatan untuk teruskan kes mahkamah selama lapan tahun,” ujarnya.

Untuk rekod, Marissa bernikah dengan Muhzir Mohd Zainuddin pada 2010 dan bercerai pada Januari 2016.

Pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain