KETIKA usianya sudah mencecah 60 tahun, pelakon Chew Kin Wah terbuka melakukan babak yang memerlukan dia mendedahkan hampir keseluruhan tubuh badannya. Mana tidaknya, filem terbaharu Chew berjudul Lubuk menampilkan dia hanya mengenakan seluar dalam yang pasti membuatkan penonton tergamam. Menurut Chew, dia terbuka untuk melakukan babak berkenaan kerana ia bersesuaian dengan jalan cerita dibawa filem tersebut. Chew terbuka dengan semua watak yang diterima. "Saya pernah buat sebelum ini cuma tak tunjuk sahaja. Bagi saya tiada apa... halal kan? Saya tak bersetubuh dan buat apa-apa. "Saya rasa ini perkara kecil saja lagi pun dalam babak itu saya sudah jadi mayat," katanya kepada mStar. Chew berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Lubuk yang berlangsung di Petaling Jaya pada malam Khamis. Dia yang memengang watak sebagai Lai bagaimanapun mengakui tidak mendapat penjelasan penuh mengenai perkara itu semasa menerima skrip. ARTIKEL BERKAITAN: Stesen TV hanya angkat drama Mandarin, Chew Kin Wah kecewa bahasa Kantonis diabaikan di Malaysia ARTIKEL BERKAITAN: Disangka sudah berhijrah ke Indonesia, Chew Kin Wah banyak terlepas tawaran - “Saya masih pegang pasport Malaysia” Namun sebagai seorang profesional dia mengikuti kehendak pengarah selain tidak mempedulikan kecaman yang bakal diterima. "Saya tidak diberitahu mengenai babak itu tapi saya okay. Tapi pengarah ada cakap akan ada babak membelah badan saya. "Takkan membelah badan denga pakai baju pula? Saya tak terkejut pun dan hanya ikut skrip. "Saya tak boleh jadi diva di Malaysia pada usia saya ketika ini. Tak perlu dikecam kerana itu sekadar lakonan dan tidak sama seperti hidup sebenar," kongsinya. Saya tiada masalah sekiranya dapat tawaran seperti ini lagi. CHEW KIN WAH PELAKON Dalam pada itu, Chew juga terbuka sekiranya menerima lebih banyak peluang lakonan yang memerlukan dia menunjukkan tubuh badannya. Malah dia juga tidak meletakkan sebarang syarat namun mengelakkan diri dari terlibat dalam karya berunsur pronografi. "Saya tiada masalah sekiranya dapat tawaran seperti ini lagi asalkan ia bukan pronografi. "Saya pun tiada syarat cukup hanya sekadar 12 jam berkerja kerana kesihatan lebih penting daripada apa-apa pun," jelasnya. Chew membawa watak sebagai Lai dalam Lubuk. Selain Chew, Lubuk turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Tony Eusoff, Junainah M.Lojong, Megat Shahrizal, dan Danish Adam. Lubuk mengisahkan tentang sebuah rumah agam yang menjadi tempat perlindungan dan pusat komuniti bagi gelandangan di sebuah bandar terpencil. Namun, rahasia gelap rumah agam itu dibongkar oleh penghuni hingga mampu mengancam nyawa mereka. Filem arahan Mark Lee See Teck bakal menemui penonton di pawagam pada 18 Julai ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube