TAMPIL kelainan dalam lagu terbaharu berjudul Menjaga Jodoh Orang Lain, penyanyi Ara Johari sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan khidmat komposer dan penulis lirik dari Indonesia iaitu Ilham Baso. Bagi Ara atau Nurfarrah Izzatie Johari, 27, soal bajet bukan menjadi penghalang apabila dia mendapat sebuah karya yang betul-betul kena dengan seleranya dan yakin ia boleh diterima ramai. "Berapa saya belanja itu, kita tolak tepi dahulu. Saya berani melabur dan berbelanja besar kerana tahu lagu ini kena dengan jiwa serta hati pendengar kita. Ara yakin apa yang diusahakan kini akan membuahkan hasil. "Sejak awal rekod lagu ini pun saya memang suka hasilnya. Sebab itu saya sanggup invest untuk dapatkan komposer, penerbit muzik serta orang-orang hebat untuk menjaga vokal ketika rakaman. "Untuk lagu ini saya habiskan berjuta-juta... tetapi Rupiah," katanya kepada mStar. Ara ditemui ketika hadir membuat persembahan di acara mStar Belanje yang berlangsung di NZ Curry House, Wangsa Maju Kuala Lumpur pada malam Ahad sempena perlawanan akhir Euro 2024. ARTIKEL BERKAITAN: Ara Johari mohon doa kekal berhijab, bakal serlah sisi berbeza dalam lagu baharu ARTIKEL BERKAITAN: ‘Delulu’ macam kena dengan isu Ruhainies dan Aliff Aziz, Ara Johari tak sindir siapa-siapa Istimewa pada malam tersebut, Ara menyampaikan versi penuh lagu berkenaan buat pertama kali di hadapan pengunjung yang hadir. Dalam pada itu, Ara berkata dia mahu mencuba pelbagai genre muzik supaya peminat dapat melihat satu sisi berbeza serta menyerlahkan lagi bakat dalam bidang seni. "Sebenarnya saya pun suka lagu-lagu 'galau' begini. Jadi apa salahnya saya berikan kelainan dan tampil dengan sebuah lagu mengikut citarasa sendiri. Saya berani melabur dan berbelanja besar kerana tahu lagu ini kena dengan jiwa serta hati pendengar kita ARA JOHARI PENYANYI "Walaupun sudah bertahun dalam industri, saya masih dalam fasa mencuba. Saya mahu jadi penyanyi versatil dan mencuba pelbagai genre sehingga rasa berpuas hari," ujarnya. Sedar lagu-lagu sebegini semakin mendapat sambutan, Ara bagaimanapun tidak pernah menganggap kelainan dibawa itu sebagai usaha untuk bersaing dengan penyanyi lain. Malah, dia yakin peminat mudah merasakan maksud yang ingin disampaikan menerusi lagu berkenaan. Ara masih mencari muzik yang sesuai dengan dirinya. "Ramai yang pernah melalui situasi patah hati. Ketika rakaman pun saya dapat rasakan ada jiwa dalam lagu ini yang boleh dikaitakan dalam kehidupan ramai orang. "Saya tidak melihat tampil memberi kelainan sebagai satu cara untuk bersaing. Saya keluarkan lagu ini sebab suka. Jika ia menjadi maka rezeki buat saya, jika tidak kita cuba lagu lain pula," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube