PELAKON dan pelawak Sathia diserang penyakit angin ahmar selepas mengadu kebas kaki dan tangan ketika sedang bersarapan di rumahnya pada Selasa. Anak sulungnya Sathia iaitu Vickynesawwry Nayar, 34, berkata, pelawak itu dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas rawatan segera di sebuah klinik mendapati tekanan darahnya rendah dipercayai berpunca daripada serangan berkenaan. "Bapa memang pernah mengalami serangan angin ahmar ringan sebelum ini dan apabila dia mengadu kaki dan tangan kebas kami segera bawanya ke klinik. Sathia kini dalam keadaan stabil. "Apabila doktor di klinik beritahu tekanan darahnya rendah kami terus diminta membawanya terus ke HKL dan ditempatkan di Zon Merah," katanya. Dalam pada itu, Vickynesawwry memberitahu Sathia kini berada dalam keadaan stabil malah dijangka pulang ke rumah pada petang Rabu. Bagaimanapun kata Vickynesawwry, bapanya masih perlu bergantung kepada beberapa ubat-ubatan termasuk disarankan melakukan fisioterapi bagi mempercepatkan proses pemulihan. ARTIKEL BERKAITAN: Sathia masih berlakon, tak gemar ‘menggemis’ tawaran dari produksi... Di usia 60 tahun lebih suka habis masa bersama keluarga ARTIKEL BERKAITAN: Mengadu sesak nafas, Ali XPDC kena serangan jantung "Keadaannya semakin baik berbanding semalam dan dijangka boleh pulang ke rumah hari ini (Rabu)," ujarnya. Tambahnya Sathia akan mengambil tempoh berehat di rumah sebelum kembali menerima sebarang tawaran kerja. "Mujur bapa tidak terikat dengan komitmen kerja dalam masa terdekat ini," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!