suria

Bayaran pelakon teater lebih rendah berbanding artis popular, Juhara Ayob minta generasi baharu fikir positif

Juhara Ayob memulakan karier dalam bidang teater sebelum beralih ke drama dan filem.

PELAKON dan penggiat teater Juhara Ayob tidak menolak pandangan bayaran artis teater lebih murah berbanding menggunakan khidmat selebriti yang sudah ada nama dalam industri hiburan tanah air.

Juhara, 52, berkata, perkara itu tidak boleh dielakkan kerana kemunculan nama besar dapat memberi impak kepada sesebuah pementasan teater termasuk jualan tiket.

"Bayaran pelakon teater dan artis itu berbeza sebab populariti... Sebagai orang lama dalam bidang ini saya faham dari sudut keuntungan.

"Sudah berpuluh tahun saya dalam bidang ini termasuk bekerja dengan beberapa pengarah teater terkenal seperti Siti Rohaya Atan.

NP-98

Juhara setuju bayaran pelakon teater rendah jika dibandingkan dengar artis ada nama.

"Memang nampak perbezaan apabila pementasan membabitkan pelakon popular memang akan dapat sambutan penonton.

"Tapi kalau letak pelakon teater semata-mata, sambutan memang kurang tetapi kualiti persembahan mereka memang terbaik," katanya kepada mStar.

Juhara berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Randai Mudo Pak Belalang yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas Kuala Lumpur (DFP) pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Imej Bertudung Tidak Menghalang Juhara Berlakon Mak Yong

ARTIKEL BERKAITAN: Juhara Takut Bawa Kereta, Trauma Kemalangan Maut

Juhara yang juga pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) turut menasihati penggiat teater generasi baharu agar tidak mudah hilang semangat dengan perkara itu.

Sebaliknya meminta mereka menganggap perbezaan tersebut sebagai satu proses mereka memantapkan diri sebelum mencapai kejayaan.

"Saya bermula daripada pentas teater sebelum membina nama sebagai pelakon drama. Jadi pada saya teater adalah platform untuk orang kenal saya dalam industri.

DSC_0031

Randai Mudo Pak Belalang bakal dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas pada 10 Ogos depan.

"Jadi untuk adik-adik baru, kalau mereka ada usaha, insya-Allah satu hari nanti penerbit filem atau drama akan ambil mereka berlakon.

"Nak popular memang lambat apatah lagi menerima bayaran tinggi seperti seorang selebriti di penyas teater. Fikir positif sahajalah," katanya.

Bercakap mengenai teater muzikal Randai Mudo Pak Belalang, pengarahnya iaitu Mohd Adika Zainal memberitahu ia bakal dipentaskan bersempena DFP Seni Festival 2024.

Mohd Adika berkata, persembahan teater rakyat Minangkabau itu bakal mengetengahkan seni silat, muzik, lawak jenaka dan tarian bergabung yang dimainkan oleh generasi baharu dalam memelihara seni tradisi bangsa.

DSC_9873

Randai Mudo Pak Belalang bakal menampilkan tarian daripada kanak-kanak yang dilatih oleh Pewara Dance Teater.

Ini termasuk tarian bertenaga oleh kanak-kanak berbakat yang dilatih oleh Pewara Dance Theater, sebuah kumpulan alumni dan kakitangan Aswara yang dipimpin oleh Mohamad Yusmar Afeendi.

"Pada zaman dahulu, Randai sering dipersembahkan pada perayaan menuai padi, upacara perkahwinan dan beberapa adat lain.

"Keistimewaan teater ini ia diserikan dengan lagu-lagu rakyat diiringi alat muzik tradisional seperti caklempong, rebana, salung dan gong," katanya.

Randai Mudo Pak Belalang bakal dipentaskan di DFP pada 10 Ogos depan pada pukul 8.30 malam.

Satu hari nanti penerbit filem atau drama akan ambil mereka berlakon.

JUHARA AYOB

PELAKON/PENGGIAT TEATER

Kali keenam penganjurannya, DFP Seni Festival 2024 adalah sebuah extravaganza muzik dan persembahan seni yang akan berlangsung sepanjang tiga bulan.

Ia merupakan platform unik yang akan mempersembahkan bakat anak seni tempatan dan wadah budaya yang menarik dari kumpulan kesenian dan orkestra terkenal.

Harga tiket menonton persembahan berkenaan dijual pada harga RM159 (Premium), RM199/RM249 seorang (Suite), RM129 (A Reserve), RM99 (B Reserve), RM69 (C Reserve).

Tiket boleh dibeli menerusi tempahan emel di [email protected], laman web DFP atau telefon ke 03-2331 7007.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain