DI SEBALIK berita gembira terjalinnya semula hubungan Datuk Seri Adnan Abu bersama penyanyi Adira Suhaimi, ramai pula yang tertanya-tanya mengenai perasaan dan hati bekas isteri pertama usahawan berkenaan yang dikenali sebagai Datin Red. Menjawab persoalan netizen itu, Datin Red atau Sharifah Norshafila Hashim, 38, berkata dia berada dalam keadaan baik dan mahu memulakan hidup baharu selepas sah bercerai pada Mei lalu. "Saya hanya mampu mendoakan yang baik-baik sahaja dan saya mohon doa semua semoga saya dapat bangkit dan kuat. Sharifah mendoakan yang terbaik buat Adira dan Adnan. "Saya nak mulakan kehidupan yang baru," katanya ketika dihubungi mStar. Dalam pada itu, Sharifah turut memberitahu dia masih belum bertemu dengan mana-mana pengganti. Malah, dia juga enggan mengulas spekulasi kononnya bekas suaminya itu juga ada memujuk dirinya untuk kembali bersama semasa tempoh idah. "Saya tiada siapa-siapa... sekarang hanya fokus pada diri sendiri dan anak-anak sahaja," katanya lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Sudah berbincang dengan keluarga, Datuk Red dan Adira rancang bersatu kembali ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Red umum idah bekas isteri pertama selesai, nasihat jaga solat - “Boleh hinggap mana-mana dahan” Berkongsi perkembangan terkini, Sharifah berkata perjalanan hidupnya tidak banyak berubah selepas berpisah dengan Adnan. Dia bagaimanapun kini sedang berjinak-jinak menjalani perniagaan jamu bagi menampung kehidupannya. "Hidup saya sama sahaja cuma yang beza tiada suami. Produk saya pun baru sahaja dikeluarkan. "Saya masih belajar dan perlukan sokongan ramai," kongsinya. Sharifah kini berjinak-jinak menjalankan perniagaan. Sebelum ini, menerusi temu bual bersama mStar, Adnan, 46, memberitahu dia kini dalam proses kembali menjalinkan hubungan serius dengan Adira. Adnan berkata dia juga sudah berbincang dengan keluarga Adira mengenai perancangan perkahwinan mereka yang bakal berlangsung pada hari raya Aidilfitri tahun depan. Sharifah berkahwin dengan Adnan pada tahun 2005 dan mereka memiliki lima orang cahaya mata. Sementara dengan Adira pula dia dikurniakan empat orang anak hasil hidup bersama selama sembilan tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!