suria

Ustaz Don pernah jadi guru tadika, pengalaman bercerita dengan kanak-kanak pupuk keberanian dalam berceramah

Ustaz Don suka bercerita dengan kanak-kanak.

PENGALAMAN menjadi guru tadika banyak memberi kelebihan buat pendakwah bebas Ustaz Don Daniyal dalam mencari keyakinan sewaktu menyampaikan ceramah dan dakwah.

Don atau Don Daniyal Don Biyajid, 40, berkata, dia pernah menjadi guru tadika yang mengajar subjek bahasa Inggeris kepada kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.

Kata Don, pujian yang diterima tentang kemahiran bercerita dalam berdakwah sedikit sebanyak dibantu oleh pengalaman yang ditimba sewaktu mengajar kanak-kanak di peringkat pra-sekolah.

"Saya mengajar bahasa Inggeris tapi saya sempat berkhidmat beberapa bulan sahaja kerana selepas itu saya terus pergi menyambung pengajian.

don2 - 1

Don berkongsi pengalaman sebagai guru tadika.

"Kanak-kanak ini senang sahaja, kita jujur dengan dia, dia akan suka kita. Bila waktu petang, saya akan luangkan masa dan kumpulkan mereka di ruang tamu untuk bercerita tentang kisah-kisah nabi.

"Disebabkan itu kalau orang kata penceritaan saya ini menarik, sebenarnya kanak-kanak di tadika itu telah melatih saya menjadi seorang yang ada keberanian untuk bercerita," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Don memberitahu dia berpeluang menjadi guru tadika sewaktu menunggu panggilan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Meskipun hanya berkhidmat beberapa bulan sahaja, Don menganggap tanggungjawab yang dipikul begitu besar dalam membentuk sahsiah kanak-kanak sedari usia awal.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ustaz Don tak kecil hati baca komen kecaman, anggap netizen tak tahu perkara sebenar

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Ustaz Don tak tipu hadis, video pendek punca salah faham... Sudah tunjuk bukti kepada pihak autoriti

"Ketika saya menunggu untuk menyambung pelajaran saya bertugas di sebuah tadika di Seberang Perai. Waktu itu tiada siapa nak terima guru lelaki untuk bekerja di tadika kerana takut dengan macam-macam perkara boleh berlaku.

"Mujurlah pengasas tadika itu kawan ibu saya dan dia beri saya peluang untuk mengajar di sana.

"Pengalamannya sangat luar biasa kerana bagi saya usia awal kanak-kanak itu adalah waktu paling penting dan ia bergantung bagaimana cara guru untuk mendidik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Don dilantik sebagai Pengasas Bersama dan Penasihat Akademik Islamik KinderHive yang merupakan sebuah institusi pendikan awal kanak-kanak dengan menerapkan nilai-nilai Islam.

don1 - 1

Don menandatangani kerjasama bersama Nazli (kiri) bagi membangunkan tadika Islamik KinderHive.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hivedeal Sdn Bhd iaitu Khairul Nazli Mohd Ali, pemilihan Don dibuat disebabkan pernah berpengalaman menjadi guru tadika selain mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan seluruh peringkat usia.

"Kami percaya dengan kepakaran ilmu Ustaz Don serta kerjasama pada pasukan Agami Group (milik Don) dan KinderHive akan terus maju dan menjadi pilihan utama ibu bapa dalam memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak.

"Don seorang yang mudah didampingi, dia mempunyai ciri-ciri yang kami perlukan. Ustaz juga pernah menjadi guru tadika dan pastinya pemilihan ini sangat sesuai dengan pengalaman yang dia miliki.

"Lagi pun, pengaruh ustaz juga besar, dia dikenali bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa tetapi kanak-kanak pun mengenalinya," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain