suria

[V] Aeril Zafrel pilih sekolah biasa berbanding asrama, bukan takut kes buli tapi mahu tengok anak membesar depan mata

ISU buli dalam kalangan pelajar sekolah mahupun penuntut di universiti kembali diperkatakan di media sosial sejak kebelakangan ini.

Perkara itu juga membuatkan ramai ibu bapa berasa takut memasukkan anak-anak mereka ke sekolah berasrama penuh disebabkan bimbang mereka akan menjadi mangsa buli.

Pelakon dan usahawan Aeril Zafrel juga tidak merancang menghantar anak-anaknya ke asmara namun bukan disebabkan bimbang mereka dibuli.

NP-116

Aeril dan Wawa tak rancang hantar anak-anak ke sekolah asrama.

Sebaliknya kata Aeril atau Suhairil Sunari, 36, dia tidak rela berjauhan dengan anak-anak selain mahu melihat mereka membesar depan matanya.

“Sebenarnya masuk asrama ni ada bagusnya untuk anak-anak lebih fokus dalam pelajaran.

“Tapi macam saya nak lebihkan masa saya dengan mereka sebab saya nak tengok mereka membesar depan mata saya sendiri.

“Budaya buli bukan hanya di asrama sahaja, sekolah biasa pun ada berlaku,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Aeril Zafrel trauma ‘dicekik’ Adlin Aman Ramli, betul-betul menangis ketika berlakon

ARTIKEL BERKAITAN: “Wawa sudah cukup cantik” - Aeril Zafrel tak terfikir menduakan isteri, ingat anak-anak kalau ada ‘bisikan’ jahat

Aeril berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa pelancaran kolaborasi Coolblog X Wawa di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pelakon filem Buas itu berkata, dia sanggup bangun awal pagi untuk menghantar anaknya ke sekolah meskipun mampu mengupah pemandu untuk melakukan tugas tersebut.

Kata Aeril, momen seperti itu tidak akan dapat dirasainya jika anak-anaknya sudah besar atau masuk ke sekolah berasrama.

“Saya sanggup bangun 6:30 pagi sebab nak ada momen hantar anak pergi sekolah.

saya nak lebihkan masa saya dengan mereka sebab saya nak tengok mereka membesar depan mata saya sendiri.

AERIL ZAFREL

PELAKON DAN USAHAWAN

“Walaupun saya boleh sahaja upah sesiapa minta hantarkan tapi pada saya itu sahajalah momen saya dengan mereka, dah besar nanti tiada dah perkara macam itu,” ujarnya.

Sementara itu, Aeril memberitahu peranan ibu bapa di rumah sangat penting bagi megurangkan gejala buli di sekolah.

Ini termasuk mengingatkan mereka tentang budaya tersebut adalah salah selain mendidik mereka dengan nilai-nilai murni agar peribadi mereka dapat dibentuk.

“Peranan utama pada ibu bapalah supaya mengingati anak-anak selalu supaya tidak terlibat dalam gejala buli, karma itu ada,” katanya.

NP-117

Aeril dan Wawa semasa majlis pelancaran kolaborasi Coolblog x Wawa.

Untuk rekod, Aeril dan Wawa mendirikan rumah tangga pada 2013.

Pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 10, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 8, Ayya Soffya, 4, dan Muhammad Fahri, 3 tahun.

Dalam perkembangan lain, kolaborasi Wawa bersama Coolblog mahu menyampaikan mesej mencintai diri sendiri dan kecantikan dari dalam.

Kempen tersebut melancarkan enam perisa berasaskan epal iaitu Very Apple Fizz, Green Apple Fizz, Very Apple Yoghurt, Green Apple Yoghurt, Very Apple Smoothie dan Green Apple Smoothie.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain