suria

Raja Azmi kongsi pengalaman pernah jual raket dengan bekas suami kerana masalah dalaman persatuan badminton

Raja Azmi berkongsi pengalaman yang dilalui bersama Jalani.

PENERBIT filem Raja Azmi Raja Sulaiman mendedahkan masalah dalam pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dibangkitkan dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris sebenarnya sudah lama berlaku sejak era 1990-an lagi.

Raja Azmi, 65, berkata sewaktu dia masih bersama bekas suami yang juga pemain badminton legenda Datuk Seri Jalani Sidek, terlalu banyak onak duri yang mereka tempuhi sepanjang pembabitan dalam sukan berkenaan.

Katanya, dia melihat masalah sama masih berlaku sehingga ke hari ini termasuk kepada pemain-pemain badminton muda iaitu Goh Jin Wei yang kesal apabila penampilan sulung di Olimpik Paris tidak disertai oleh jurulatihnya, Nova Armada.

"Daripada zaman keluarga anak-anak Sidek dulu, Jalani pembawa pingat pertama (gangsa) Olimpik melalui sukan badminton pada 1992. Sejak zaman itu lagi memang ada toksik dalaman (pengurusan).

553 (2)

Raja Azmi mengimbau memori bersama bekas suami yang juga merupakan pemain badminton negara.

"Jadi sekarang timbul pula isu pemain badminton wanita Malaysia yang tidak boleh bawa jurulatih mereka bersama ke Olimpik.

"Sepatutnya BAM kena ambil berat, utamakan jurulatih mereka walaupun mereka hanya pemain profesional dan bukannya bawah naungan BAM tetapi mereka bermain untuk negara," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Raja Azmi turut mengimbas kembali saat dia dan keluarga Sidek iaitu Jalani, Misbun dan Rashid pernah berusaha mengumpul dana sebanyak lebih RM60,000 semata-mata untuk membayar wang tebusan kepada BAM kerana ingin melepaskan pemain badminton Roslin Hashim daripada persatuan berkenaan.

Lebih mengecewakan lagi, kata Raja Azmi perkara ini turut berlaku kepada pemain harapan Lee Zii Jia dalam menentukan masa depan negara terhadap sukan badminton.

ARTIKEL BERKAITAN: Raja Azmi kena peras ugut gara-gara tertekan pautan diragui

ARTIKEL BERKAITAN: Pujukan tak berhasil, Lee Zii Jia sah berundur dari BAM

"Lihat sahaja sejarah Roslin, saya sendiri bersama keluarga Sidek bantu untuk dapatkan dana bagi membayar ganti rugi kerana Roslin ingin keluar daripada persatuan dan menjadi pemain profesional.

"Saya dan bekas suami dan anak-anak Sidek buat pameran dan jual raket bagi bantu Roslin mencari dana.

"Sekarang ini saya lihat Zii Jia menerima nasib yang sama. Sebenarnya Zii Jia ada peluang untuk dapat pingat emas di Olimpik tetapi bayangkan bagaimana layanan diterima," ujarnya.

Mengulas kontroversi yang melibatkan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Raja Azmi meluahkan rasa terkilan apabila presiden BAM itu berhasrat untuk meletakkan jawatan susulan terpalit dengan isu kehadiran keluarganya di Sukan Olimpik 2024.

Saya bersama keluarga Sidek dapatkan dana bagi membayar ganti rugi sewaktu Roslin ingin keluar daripada BAM.

RAJA AZMI

PENERBIT

Raja Azmi menyifatkan tindakan Norza itu sebagai bertanggungjawab walaupun perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Kongsi penerbit itu lagi, pengurusan BAM yang sepatutnya dirombak bagi meningkatkan mutu sukan badminton tanah air.

"Bagi saya Norza seorang yang budiman kerana beliau ambil tanggungjawab itu dan berani meletakkan jawatan.

"Tapi saya terkilan kerana beliau terpaksa menerima impak daripada pengurusan yang tidak betul.

raja1 - 1

Raja Azmi dan Jalani (kiri) pernah membantu dapatkan dana untuk Roslin (kanan).

"Sebagai presiden, Norza sepatutnya singkirkan semua pegawai dalam BAM dan gantikan dengan yang baru bagi membawa perubahan dalam pengurusan," katanya.

Sebelum ini, Norza dikhabarkan akan melepaskan jawatan sebagai presiden BAM susulan kontroversi kehadiran ahli keluarganya pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Tidak hanya itu, mereka juga dilihat memakai kad akreditasi namun Norza memberitahu beliau mempunyai kuota khas berasingan untuk membawa tetamu sendiri.

Rata-rata netizen tidak berpuas hati melihat kehadiran ahli keluarga Norza kerana menganggap masih ramai individu yang berkelayakan untuk mendapat kad akreditasi berada di acara temasya sukan berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain