PELAKON Azhan Rani tidak menyangka dapat bekerja dibawah arahan dua orang bekas pelajarnya iaitu Azhar Zainal dan Fasyali Fadhli dalam pementasan teater berjudul Andak Bertandak. Kata Azhan atau Azhan Abdul Rani, 48, dia bagaikan tidak percaya melihat Azhar dan Fasyali bertindak sebagai pengarah serta penulis skrip, sekali gus akur untuk mendengar arahan mereka. Meskipun pernah menjadi pelajarnya sewaktu mengajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azhan sanggup mengetepikan statusnya itu semata-mata ingin memberi peluang kepada bakat muda. "Perasaan sudah tentu bercampur baur kerana tak percaya dulu mereka berdua ini selalu tunggu arahan saya, tapi sekarang saya kena ikut kehendak mereka. Azhan dan barisan pelakon sedang menjalani latihan pementasan teater. "Sebagai pelakon saya memberi sepenuh kepercayaan kepada mereka memandangkan keduanya sudah profesional dalam bidang ini. "Jadi saya buang ke tepi sebagai individu yang pernah menjadi tenaga pengajar dan pengarah mereka. Saya biarkan mereka berkarya dan ikut apa yang dimahukan," katanya. Dalam pada itu, Azhar berharap Azhar dan Fasyali yang kini merupakan Dekan Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) untuk terus menjadi individu penting dalam pementasan teater. Kata Azhan, dia sangat mengagumi bakat muda itu dan terharu kerana bekas pelajarnya sudah mampu untuk menjadi seorang pengarah dan penulis skrip. ARTIKEL BERKAITAN: Khunsa takdir pahit tapi wujud, Azhan Rani soal kalau jadi pada keluarga sendiri - "Nak kena jadi bingung ke?" ARTIKEL BERKAITAN: Kemalangan belum buat Azhan Rani serik, idam motosikal BMW K 1600 B "Mula-mula agak susah nak percaya tapi saya kena terima hakikat ini. Dalam masa sama terharu sebab mereka kini sudah mampu memberi arahan selain pakar dalam bidang masing-masing. "Saya sangat kagum dan mengharapkan mereka terus menjadi nama-nama penting dalam seni pementasan teater atau pun drama," ujarnya. Mengulas lanjut tentang penglibatannya dalam teater Andak Bertandak, pelakon drama Khunsa itu memberitahu dia akhirnya terbuka hati untuk menyertai pementasan ini selepas lapan tahun tidak terbabit dalam dunia teater. Kongsi Azhan, pada mulanya dia keberatan untuk menerima tawaran ini kerana kekangan waktu bekerja, tetapi disebabkan pujukan pihak Mask Team sebagai penerbit membuka hatinya untuk terus menjayakan pementasan tersebut. "Kali terakhir saya terbabit dalam pementasan teater adalah pada tahun 2016 menerusi teater Muzikal Randai Cindua Mato di Istana Budaya. Selepas itu, saya tidak terbabit dalam mana-mana pementasan. Teater Andak Bertandak bakal dipentaskan pada 29 Ogos ini. "Sebenarnya kalau ikutkan saya agak keberatan untuk sertai teater ini kerana jadual seni saya agak padat disebabkan terikat dengan penggambaran drama bersiri di Johor. "Jadi pada awalnya saya terpaksa tolak tawaran ini,tapi disebabkan Mask Team tidak berhenti memujuk kerana mahukan saya terbabit dalam teater ini selain sanggup mengatur jadual saya membuatkan saya terharu dan bersetuju," katanya. Teater Andak Bertandak bakal dipentaskan pada 29 Ogos hingga 1 September depan di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC). Selain Azhan, pelakon lain yang terbabit ialah Ellie Suriaty, Riena Diana, Jay Iswazir, Dottie, Aizat Saha, Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!