suria

Syafiq Kyle kongsi pengalaman jalani latihan bersama komando VAT69, dapat jumpa pejuang Lahad Datu

Syafiq teruja dapat kongsi pengalaman bersama komando VAT69.

SEMINGGU menjalani latihan bersama pasukan Komando VAT69 di Ulu Kinta, Perak memberi pengalaman luar biasa buat pelakon Syafiq Kyle bagi menjayakan filem Takluk: Lahat Datu.

Syafiq atau Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 32, berkata, sepanjang menjalani latihan bersama barisan pelakon lain, mereka melalui proses yang disifatkan sebagai mencabar.

Kata Syafiq, latihan yang diberikan itu juga memberi semangat untuk membiasakan diri ketika berada di lokasi penggambaran sebenar iaitu di Lahad Datu, Sabah.

"Memang penuh dengan latihan agresif dan intensiti tapi itu yang membina semangat kami apabila berada di lokasi Lahad Datu.

syafiq1 - 1

Syafiq memainkan watak sebagai DSP Zambri dalam filem Takluk: Lahad Datu.

"Kami menjalani penggambaran di lokasi sebenar. Kalau anda pernah pergi perkampungan Kampung Air, ia bukan satu tempat yang selesa.

"Dengan persediaan latihan yang kami sudah lakukan membuatkan kami lebih bersedia untuk berada di sana lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas, hujan," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Syafiq turut berkongsi cabaran membawakan watak utama sebagai DSP Zambri yang perlu memberikan arahan kepada barisan komando sebenar.

Aktor berkenaan memberitahu dia banyak menerima tunjuk ajar daripada Komando VAT69 bagi mendalami karakter dan peranan sebenar sebagai seorang askar polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Mimi Lana minta Syafiq Kyle doakannya di Makkah, letak soal jodoh pada ketentuan Allah

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas keluar makan berdua, kali ini Syafiq Kyle bagi Mimi Lana kek brownies sempena hari jadi... "Gigih buat sebelum shooting jauh"

"Saya berlatih dengan pasukan komando, saya dapat banyak input daripada mereka. Input yang diberi itu sangat membantu saya mendalami watak.

"Perkara yang paling mencabar adalah saya perlu mengetuai pasukan komando sebenar dalam filem ini. Pelakon hanya tiga barisan di hadapan tetapi yang selebihnya semua ialah anggota komando sebenar.

"Saya banyak bertanya kepada komando daripada segi percakapan dan tindakan saya adakah sama seperti peranan sebenar mereka," ujarnya.

Kongsi Syafiq lagi, penggambaran filem ini turut disertai oleh komando yang pernah terlibat dengan insiden berlaku di Lahad Datu.

Ia sekali gus memberikan kelebihan buat barisan pelakon dalam menghayati setiap babak yang dilakonkan.

"Ia merupakan kelebihan buat barisan pelakon kerana kami dapat berkongsi pengalaman sekali gus membantu saya untuk menggerakkan karakter yang dibawa.

"Saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan komando-komando ini. Mereka sangat rendah diri.

syafiq2 - 1

Syafiq berkongsi cabaran berlakon dalam filem Takluk: Lahad Datu.

"Saya banyak belajar dengan mereka tentang kawasan pedalaman, jenayah dan tragedi yang berlaku di sana," katanya.

Filem Takluk: Lahad Datu menceritakan semula tentang kisah krisis pencerobohan Lahad Datu yang berlaku pada 2013.

Selain Syafiq, filem tersebut turut dibintangi barisan pelakon popular termasuk Kamal Adli, Fikry Ibrahim, Anding Indrawani, Eman Manan, Riezman Khuzaimi, Josiah Hogan, Ayez Shaukat dan Mustaqim Bahadon.

Takluk: Lahad Datu bakal ditayangkan di seluruh pawagam tempatan bermula 22 Ogos ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain