PENYANYI Bang Yedam mengotakan janjinya apabila menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu berjudul Cute (Stop Lah Being So Cute) menerusi acara Fan Meeting Be Your D yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada malam Sabtu. Meskipun hanya mendendangkan lagu nyanyian Harith Zazman itu pada bahagian korus sahaja, Yedam tetap berjaya memukau ribuan penonton yang hadir dengan kelunakan suaranya. Kedengaran sorakan riuh peminat saat Yedam mempersembahkan lagu tersebut malah ramai yang tidak menyangka penyanyi itu mampu menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu dengan baik. Bang Yedam turut menunjukkan kebolehan bermain keyboard ketika mengadakan persembahan. Kata Yedam, 22, dia memilih lagu Cute memandangkan ia cukup popular dan mudah untuk dihafal kerana melodinya yang menarik. “Lagu Cute ini sangat popular sebab itulah saya tahu dan boleh hafal, dan tentulah saya juga perlu belajar sedikit sebelum datang ke Malaysia,” katanya. Dalam pada itu, Yedam turut menghiburkan penonton yang hadir menerusi lagu popularnya termasuk Only One, Miss You, Wayo dan Come To Me. ARTIKEL BERKAITAN : Persembahan ‘Be Your D’ eksklusif di Zepp KL, Bang Ye Dam bakal nyanyi lagu dalam bahasa Melayu ARTIKEL BERKAITAN : Bang Ye Dam datang KL 24 Ogos, penganjur janji jadi kenangan paling indah buat peminat Malah peminat seakan terpaku apabila Yedam ‘belanja’ kemampuanya bermain alat muzik keyboard ketika menyanyikan lagu cover bertajuk Hate That I Love You nyanyian New West. Sepanjang dua jam acara berlangsung, kemerduan vokal Yedam semakin terserlah saat membawakan lagu cover seperti Magnetic, Can’t Take My Eyes Of You, There’s Nothing Holding Me Back dan Seven. Menerusi sesi bertemu peminat, Yedam sempat berinteraksi bersama penonton dalam beberapa sesi permainan malah penyanyi itu sempat diajar cara bermain lai lai li tam plong. Enam peminat bertuah dapat naik ke atas pentas untuk beramah mesra dengan Bang Yedam. Enam peminat bertuah mendapat peluang naik ke pentas untuk bermain permainan meniru gaya penyanyi itu. Tiga orang peminat dipilih menjadi pemenang berpeluang membawa pulang kemeja-T berserta tanda tangan Yedam dan sesi bergambar bersama penyanyi itu. Lebih manis, Yedam pula dihadiahkan sepasang Baju Melayu lengkap berwarna biru sebagai tanda kenangan dari peminat yang menggelarkan diri mereka BY:D. Bang Yedam cukup gembira dapat menerima hadiah daripada peminat. Menerusi sidang media sebelum fan meeting berlangsung, Yedam memberitahu dia tidak sempat lagi untuk berjalan di sekitar Kuala Lumpur kerana sibuk melakukan persiapan. Bagaimanapun Yedam meluahkan rasa teruja apabila diberi satu hari peluang untuk menikmati keindahan ibu kota Malaysia malah penyanyi itu mengakui tidak sabar untuk melawat Menara Berkembar Petronas selepas acara selesai. “Saya teringin sangat nak pergi ke KLCC, kebetulan saya bernasib baik diberikan satu hari untuk berjalan jalan-jalan di sini esok. Harap saya sempat untuk melawat bangunan ikonik itu. “Saya juga akan cuba makanan yang peminat cadangkan, saya sudah minta team saya senaraikan semua makanan sedap di sini,” ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!