suria

Juri terhibur persembahan Orkes Melayu KL... Tak harap menang tapi bangga ketengah lagu asli di Festival Antarabangsa Sharq Taronalari

Nurfarhana Abu Bakar bersama Orkes Melayu Kuala Lumpur di Festival Antarabangsa Sharq Taronalari,Samarkand, Uzbekistan pada malam Selasa.

PESERTA dari Malaysia iaitu Orkes Melayu Kuala Lumpur berharap, gabungan empat genre muzik tradisional dalam Festival Muzik Antarabangsa Sharq Taronalari di Samarkand, Uzbekistan menjadi nilai tambah untuk memikat hati juri dalam pertandingan itu.

Vokalis yang juga pemain besnya, Syed Shahril Faisal Syed Hussein berkata, mereka menggabungkan irama tradisional Melayu iaitu Dondang Sayang, Zapin, Mek Mulung dan Joget untuk mencari kelainan kerana setiap genre itu berlainan iramanya.

“Empat elemen itu kami gabung dan membuat pembaharuan agar ia kedengaran lebih rancak melibatkan lagu Dondang Sayang, lagu Ya Salam berentak Zapin, Mek Mulung dan penutupnya ialah lagu Joget kesukaan rakyat Malaysia iaitu Ala Emak Kahwinkan Aku,” katanya.

Peserta - Festival Antarabangsa Sharq Taronalari di Dataran Rigistan, Smarkand, Uzbekistan.

Pertandingan diadakan di Dataran Registan, yang mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia, UNESCO.

Menurutnya kesemua lagu itu digubah tidak melebihi 15 minit seperti yang disyaratkan dalam pertandingan.

Katanya, pihak juri memberi komen terhibur ketika menonton persembahan mereka.

Selain beliau, Orkes Melayu Kuala Lumpur turut disertai oleh Oly Fizly Othman (perkusi), Nurfarhana Abu Bakar (vokalis kedua), Aris Kalisa Razli (gitar), Adam Shahrir Omar (akordion) dan Muhammad Saufi Nasyari (biola).

Mereka ialah kumpulan muzik yang ditubuhkan bawah unit kebudayaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Orkes Melayu KL - 2

Vokalis utama, Syed Sharil Faisal (berdiri, kanan) bersama ahli Orkes Melayu Kuala Lumpur.

Sharq Taronalari yang bermaksud Melodi Timur, merupakan festival terbesar Asia Tengah yang di adakan di Dataran Ragistan, Tapak Warisan Dunia UNESCO. Ia mula diperkenalkan pada 1997 dan diadakan dua kali setahun, anjuran Kementerian Kebudayaan negara itu.

Seramai 300 orang peserta menyertainya melibatkan penyertaan dari kira-kira 80 buah negara. Ia berlangsung selama lima hari sejak Isnin lalu.

Pemenang akan diumumkan pada acara kemuncaknya pada malam Jumaat ini.

Satu pemenang utama bakal memperoleh hadiah berupa wang tunai AS$10,000 (RM43,500) dua pemenang tempat pertama akan menerima AS$5,000 (RM21,700), dua pemenang tempat kedua akan mendapat AS$3,500 (RM15,200) dan tiga pemenang tempat ketika akan menerima AS$2,000 (RM8,700).

Juri - Festival Antarabangsa Sharq Taronalari

Juri profesional dari pelbagai negara menilai peserta pertandingan di Festival Antarabangsa,Sharq Taronalari di Samarkand, Uzbekistan.

Dalam acara serupa pada 2007, Kumpulan Ghazal Seri Maharani dari Muar Johor berjaya mengharumkan nama negara apabila memperoleh tempat ketiga yang melayakkan mereka menerima AS$3,000 (RM10,200).

Tambah Syed Shahril Faisal lagi, disebabkan penyertaan begitu sengit, mereka tidak berasa kecewa jika gagal dalam festival ini tetapi usaha untuk menonjolkan lagu-lagu tradisional Melayu pada peringkat lebih jauh dapat dilaksanakan.

Katanya penyertaan mereka dalam festival bertaraf dunia itu sudah membanggakan kerana sekurang-kurangnya masyarakat antarabangsa mengiktiraf muzik tradisional Melayu ayang merupakan warisan negara.

”Kami tidak mengharapkan kemenangan tetapi apa yang menjadi kebanggaan ialah lagu dan muzik tradisional tidak terus dilupakan malah mampu ditonjolkan pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Artikel Lain