suria

Alunan gamelan dalam gua buat bulu roma Vivienna Alfred menegak, sangka kru produksi buka video TikTok... Tak gelabah ingat pesan ketua kampung

Vivienna kongsi kisah mistik ketika jalani penggambaran.

DIBERI peluang untuk mengendalikan rancangan Caves & Caverns merupakan satu pengalaman berharga buat pengacara Vivienna Alfred.

Namun di sebalik keterujaan sebagai pengacara, Vivienna, 27, pernah berdepan dengan kisah mistik dalam program yang mengetengahkan keindahan gua di negeri Sabah dan Sarawak itu.

"Sewaktu memasuki salah sebuah gua, saya terdengar bunyi orang bermain gamelan. Ketika itu saya fikir mungkin ada yang buka video TikTok, tetapi sebenarnya tiada siapa sedang memegang telefon bimbit di tangan.

"Saya diamkan saja kerana teringat pesanan ketua kampung sebelum itu. Saya pun bukan jenis penakut. Saya cuma membuka mulut sewaktu makan malam pada hari itu. Rupanya seorang jurukamera kami pun ada terdengar bunyi sama," kongsinya.

vivienna 2

Vivienna sahut cabaran kendalikan rancangan Caves dan Carves.

Menurutnya dia bersama kru produksi ketika itu telah pun diberitahu supaya menjaga adab dan tingkah-laku apabila memulakan penggambaran dalam gua berkenaan.

Malah dia juga berpegang kepada nasihat penduduk tempatan di kawasan tersebut supaya tidak menegur atau bercakap buruk tentang lokasi yang dilawati.

"Sejak dulu lagi, ada upacara tertentu perlu dijalani untuk masuk gua dan semua itu dilakukan ketua kampung di sana terlebih dulu. Dia juga memberi amaran supaya kami tidak menegur jika dengar atau lihat apa-apa yang aneh di dalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Sambutan Kemerdekaan ke-67 meriah, Nas-T muncul sebagai ‘Keluang Man‘ di Putrajaya

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi drama cinta... Zul Ariffin ada alasan bersikap memilih, bukan sebab sudah ‘besar kepala‘

"Saya optimis saja anggap mainan gamelan itu mungkin untuk mengalu-alukan kedatangan kami. Syukur tiada kejadian ekstrim berlaku seperti rasukan atau lain-lain," kongsinya.

Program terbitan produksi Above The Line bukan sekadar memaparkan keindahan kawasan gua, malah ia juga mahu menonjolkan aktiviti lasak kepada golongan wanita.

Justeru pemilihan Vivienna yang juga merupakan pemenang tempat kedua pertandingan Miss grand Malaysia 2022 adalah langkah terbaik mempromosikan ke arah tersebut.

vivienna 3

Program Caves & Carves kongsi kisah keindahan gua di Sabah dan Sarawak.

"Rancangan ini bertujuan mengubah pemikiran stereotaip dengan mempamerkan wanita juga boleh melakukan aktiviti lasak serta memiliki kekuatan luar biasa.

"Visi kami adalah untuk gambarkan keunikan setiap gua serta pengembaraannya dalam bentuk filem. Kami percaya Caves & Caverns berpotensi menjadi rujukan berguna untuk penonton menerusi visual memukau dan kisah penuh inspirasi," jelas penerbit.

Caves & Caverns akan memulakan tayangan pada 4 September di saluran TVS dan Astro.

Antara lokasi yang dijelajahi adalah Gua Niah dan Gua Mulu di Sarawak selain Gua Terpadung dan Gua Gomantong di Sabah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain