suria

Malaysia perlu serius tonjol warisan seni negara di pentas global dalam Sharq Taronalari pada masa hadapan

Sharq Taronalari ke 13 diadakan di Dataran Registan, Samarkand, Uzbekistan yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia, Unesco.

KEUNIKAN sesebuah negara bukan sahaja boleh dilihat dari sudut sejarah dan bentuk geografinya tetapi bagaimana budaya dan muzik itu berkembang.

Kedua-dua elemen itu jika digabungkan mampu merapatkan masyarakat dunia selain dapat menonjolkan sesebuah negara bagi tujuan promosi dan pelancongan.

Melalui pendekatan inilah lebih 300 orang peserta daripada hampir 80 buah negara berkumpul untuk mempamerkan keindahan dan juga keunikan seni dan budaya negara masing-masing dalam Festival Muzik Antarabangsa, Sharq Taronalari ke-13.

Sharq Taronalari 10

Peserta dari Azerbaijan memenangi Sharq Taronalari pada tahun ini.

Festival ini diadakan di Dataran Registan, Samarkand, sebuah bandar purba kedua terbesar di Uzbekistan yang diiktiraf sebagai tapak warisan dunia Unesco. Ia berlangsung dari 26 Ogos hingga 29 Ogos lalu.

Dalam tempoh penganjurannya, peserta turut menyertai persidangan ilmiah dan praktikal antarabangsa mengenai budaya dan muzik masyarakat timur yang disertai oleh ahli muzik, profesor dan guru dari institusi pendidikan serta pelajar universiti.

Sharq Taronalari yang bermaksud Melodi Timur, merupakan festival terbesar di Asia Tengah. Ia mula diperkenalkan pada 1997 dan diadakan dua kali setahun.

Sharq Taronalari - Orkes Melayu Kuala Lumpur

Malaysia menghantar wakil yang disertai Orkes Melayu Kuala Lumpur.

Kali terakhir penganjurnya pada 2019 dan selepas itu dihentikan seketika apabila dunia dilanda pandemik COVID-19.

Melihat akan pentingnya muzik dan budaya, Menteri Kebudayaannya, Ozodbek Nazarbekov beranggapan memperuntukkan perbelanjaan antara RM10 juta hingga RM17 juta dalam perayaan ini adalah lebih penting daripada ia digunakan untuk ‘menurap jalan’ demi memelihara masa depan manusia.

Objektif utama festival ini untuk mempromosikan pencapaian dalam seni muzik nasional kepada khalayak, memelihara dan mengembangkan budaya dan tradisi negara, menyokong bakat muda dalam bidang muzik dan nyanyian, serta memperluas hubungan kreatif antarabangsa sambil mempromosikan ideal keamanan, persahabatan, dan toleransi bersama.

Sharq Taronalari 6

Peserta yang bertanding hendaklah kretaif ketika mempamirkan persembahan masing-masing.

Peserta dinilai daripada segi identiti nasional lagu, keharmonian dan makna lirik, tahap kemahiran penghibur, pakaian budaya, dan pergerakan pentas yang menjadi kriteria penting untuk pertandingan.

Malaysia turut menghantar penyertaan yang disertai oleh Orkes Melayu Kuala Lumpur, sebuah kumpulan muzik kebudayaan bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mereka terdiri daripada Syed Shahril Faisal Syed Hussein (vokalis dan pemain bes), Oly Fizly Othman (perkusi), Nurfarhana Abu Bakar (vokalis kedua), Aris Kalisa Razli (gitar), Adam Shahrir Omar (akordion) dan Muhammad Saufi Nasyari (biola).

Sharq Taronalari 2

Kira-kira 80 buah negara dengan 300 peserta menyertai Sharq Taronalari tahun ini.

Empat genre muzik tradisional iaitu Dondang Sayang, Zapin, Mek Mulung dan Joget telah digubah selama 15 minit dan dipersembahkan dalam pertandingan itu.

Biarpun tewas, sekurang-kurangnya muzik dan budaya tradisional negara telah ditonjolkan pada peringkat global.

Namun begitu, Malaysia pernah mencatat sejarah dalam acara serupa pada 2007 apabila Kumpulan Ghazal Seri Maharani dari Muar Johor, mendapat tempat ketiga.

Sharq Taronalari 1

Pelbagai jenis alat muzik diperkenalkan dalam setiap persembahan.

Pada tahun ini kemenangan berpihak kepada negara Azerbaijan. Mereka menerima hadiah utama iaitu AS$10,000 (RM43,500).

Tempat pertama pula menjadi milik Turkmenistan apabila memenangi AS$5,000 (RM21,700), tempat kedua dimenangi oleh Kazakhstan dan Uzbekistan yang masing-masing mendapat AS$3,500 (RM15,200) dan tiga buah negara di tempat ketiga iaitu Jepun, Mongolia dan Rusia yang masing-masing menerima AS$2,000 (RM8,700).

Sebagai sebuah negara yang didiami oleh pelbagai suku kaum dan etnik, pada masa hadapan Malaysia boleh mengambil bahagian dengan menggabungkan kehebatan budaya dan muzik tradisionalnya seperti Wayang Kulit, Makyung, Kuda Kepang dan Ulek Mayang tanpa melupakan keunikan tarian dan kebudayaan asli yang terdapat di Sabah dan Sarawak seperti Sumazau dan Ngajat.

Sharq Taronalari 7

Selain lagu dan alat muzik, kostum peserta turut dinilai dalam pertandingan ini.

Untuk tempoh dua tahun akan datang, Malaysia boleh membuat persiapan rapi untuk menyertai acara berprestif ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang mempunyai agensi di bawahnya seperti Istana Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) harus mengambil peluang untuk meneroka peluang baharu dalam mempromosikan identiti negara ini dengan lebih luas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain