suria

Filem ‘Gold’ tayang semula di pawagam, penghargaan buat Cheah Liek Hou menang emas di Paris

Jack Tan (kiri) memberitahu berbangga dapat memegang watak sebagai Cheah (kanan) dalam filem Gold.

FILEM Gold yang diinspirasikan daripada kisah jaguh badminton paralimpik negara iaitu Cheah Liek Hou bakal ditayangkan semula di beberapa sesi tayangan terpilih di pawagam.

Tayangan itu susulan kejayaan Cheah mempertahankan gelaran juara pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas memenangi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

Kejayaan Cheah bertambah manis apabila ia emas pertama untuk pasukan Malaysia.

Penerbit Eksekutif Gold, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kejayaan Cheah di Paris turut membawa harapan dan impian rakyat Malaysia dan turut berbangga dengan semangat dan dedikasi ditunjukkan.

Sebagai penghargaan, Astro Shaw membawa semula Gold ke pawagam terpilih bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia merasai kisah kejayaannya.

27841568

Cheah berjaya membawa pingat emas untuk Malaysia menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).

Pihak Penerbit Astro Shaw, Pengarah Gold, Andrian Teh, bersama barisan pelakon turut menzahirkan ucapan tahniah buat Cheah Liek Hou di atas prestasi yang membanggakan ini.

Menurut Penerbit Eksekutif Filem Gold merangkap Ketua Astro Shaw Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Tahniah Cheah Liek Hou atas kejayaan ‘gold’ ini. Beliau telah membawa harapan dan impian Malaysia bersama beliau di persada dunia.

"Sebagai rakyat Malaysia, kami amat berbangga dengan perjalanan luar biasa beliau dan semangat serta dedikasi beliau seharusnya menjadi inspirasi kepada kita semua," katanya dalam satu kenyataan kepada mStar pada Selasa.

Pengarahnya, Adrian Teh pula memberitahu dia tumpang bangga dnegan kejayaan Cheah dan pemain badminton itu sekali lagi membuktikan kehebatannya di gelanggang.

ARTIKEL BERKAITAN: Paralimpik Paris: Liek Hou paku emas pertama badminton untuk Malaysi

Gold dibintangi pelakon Jack Tan sebagai Cheah Liek Hou, Farid Kamil sebagai Rashid Sidek, Wan Raja sebagai Misbun Sidek, Fabian Loo sebagai Guan Ting, penyanyi popular sekitar 1990-an Freddie Ng, Josiah Hogan dan Daniel Cheah.

Ia turut dibintangi oleh Yasmin Hani, Lynn Lim, Meeki Ng, serta penampilan istimewa Tony Eusoff, Nafiez Zaidi dan Ikhram Juhari.

Gold mengisahkan perjalanan hidup Cheah sejak kecil. Ketika dia berusaha untuk menempatkan namanya dalam arena sukan nasional, beliau didapati menghidap penyakit saraf yang dikenali sebagai Erb’s Palsy.

Kehilangan bapa sebagai penyokong kuatnya juga membuatkannya hilang arah namun, apabila acara Paralimpik dunia mengiktiraf badminton sebagai sukan yang akan dipertandingkan di Tokyo, Liek Hou bangkit semula dengan bantuan jurulatih dan pemain legenda Malaysia, Rashid Sidek.

Selain pawagam terpilih, Gold boleh dilanggan menerusi platform Astro saluran 480 atau On Demand dan Astro GO serta peranti pilihan anda melalui sooka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain