SEKADAR hanya 21 bulan merasai nikmat berumah tangga, pengarah Syamsul Yusof dan Ira Kazar sah bercerai talak satu pada Khamis. Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan berlakunya talak selepas wujud pelanggaran taklik sebanyak lima kali oleh Ira sejak 14 Ogos lalu. Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib membuat keputusan itu selepas meneliti semua dokumen pengesahan lafaz taklik yang difailkan Ira pada 21 Ogos lalu. Peguam mewakili Ira iaitu Muhammad Fadhil Abd Razak memberitahu wujud penceraian di luar mahkamah namun bersyukur perkara itu selesai dengan baik. Syamsul dan Ira berkahwin di Thailand pada Januari tahun lalu. “Hari ini mahkamah sudah sahkan bahawa berlaku penceraian di luar mahkamah di antara Ira Kazar dan juga Syamsul. “Mahkamah sahkan dokumen tersebut sekitar pukul 10.30 pagi tadi. Terima kasih kepada mahkamah kerana dapat selesaikan dengan segera,” katanya kepada mStar. Fadhil memaklumkan perkara itu semasa ditemui selepas sebutan kes pengesahan lafaz taklik di antara Syamsul dan Ira. Bagaimanapun pihak media tidak dibenarkan memasuki galeri awam untuk membuat liputan kes tersebut. Mengulas mengenai pelanggaran taklik, peguam mewakili Syamsul iaitu Azmi Mohd Rais menjelaskan perkara itu dibuat Ira secara rela dan tanpa paksaan sesiapa. ARTIKEL BERKAITAN: Ira Kazar fail pengesahan lafaz taklik, ada kaitan dengan hantaran di media sosial ARTIKEL BERKAITAN: [V] Syamsul Yusof sedia lepaskan isteri, terpaksa tangguh lafaz cerai sebab Ira Kazar baru lantik peguam Tambah Azmi, Ira juga sudah pun memulakan tempoh idah sejak 14 Ogos lalu. “Mahkamah sahkan berlakunya perlanggaran taklik oleh Ira. Perkara itu adalah dilakukan secara rela dan tanpa paksaan,” ujarnya. Sebelum prosiding bermula, Azmi memberitahu pelanggaran taklik itu ada kaitan dengan hantaran media sosial yang dibuat Ira. Bagaimanapun Azmi tidak memperincikan hantaran tersebut sehingga berlakunya pelanggaran taklik. Syamsul bersama peguamnya Azmi Mohd Rais. Untuk info, Syamsul atau Mohd Syamsul Yusof, 40, memfailkan cerai terhadap Ira pada 19 Ogos lalu kerana dikatakan tidak lagi mempunyai persefahaman. Sebutan kes berkenaan sepatutnya berlangsung pada 25 September ini di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor. Untuk rekod, Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand dan pasangan itu dilaporkan mendaftarkan perkahwinan mereka di Perlis pada 20 Januari 2023. Syamsul juga sebelum ini pernah berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 dan bercerai pada 14 Jun tahun lalu. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!