BIMBANG berdepan sebarang masalah kesihatan, pelakon dan penyanyi Abby Abadi nekad mengamalkan pemakanan sihat bagi mendapatkan berat badan ideal sejak beberapa bulan lalu. Biarpun penurunan tidak konsisten, namun Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 47, yakin dia mampu mencapai hasrat itu hasil usaha berterusan. Malah perubahan tubuhnya itu juga menjadi perhatian ramai apabila berkongsi penampilan yang lebih langsing. Senaman juga membantu Abby menurunkan berat badan. "Rasanya selepas sambutan Hari Raya sebelum ini saya sedar dari lamunan. Tiba-tiba rasa badan berat. Sebelum ini saya timbang berat, bila lihat saya terkejut sebab ketika itu mencecah 78 kilogram. "Banyak yang saya risaukan terutama tentang kesihatan. Jadi bermula situ saya mula ambil tahu tentang pemakanan diet, senamam untuk cepatkan proses turun berat badan. "Dalam masa tiga ke empat bulan berat badan turun sebanyak 14 hingga 16 kilogram. Tetapi berat badan senang naik. Kalau sibuk (kerja) terlanggar juga amalan diet tu," katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Luahan Abby Abadi sentuh hati orang ramai, Marissa tinggal komen minta balas WhatsApp ARTIKEL BERKAITAN: Abby Abadi tak tahu anak bersalin bayi pra matang, masih belum ada khabar berita daripada Marissa Abby sebelum ini pernah berkongsi melakukan pembedahan bariatrik sekitar tahun 2019 namun gagal mengekalkan berat badan minimun susulan tidak menjaga pemakanan. Akibat ambil mudah mengenai amalan diet ketika itu, rawatan yang dilakukan hanyalah sia-sia. "Saya ambil mudah sebab terpengaruh dengan kata-kata orang yang memberitahu boleh kurus walau tidak jaga makan selepas bariatrik. Banyak yang saya risaukan terutama tentang kesihatan ABBY ABADI PELAKON "Saya biarkan diri saya tanpa ada perubahan dalam rutin harian. Hanya mengharapkan keajaiban. Saya tidak menjadi kurus seperti zaman awal kemunculan bersama Elite dahulu sebab tidak menjaga pemakanan," jelasnya. Sementara itu, bercakap mengenai kerjaya lakonan, Abby berkata dia terbuka untuk menerima tawaran meskipun sibuk sebagai seorang usahawan. Malah dia juga baru sahaja selesai menjalani pengambaran drama bersama syarikat produksi Zeel Production. Abby terbuka menerima tawaran berlakon. "Mungkin itu permulaan untuk saya kembali mendapat watak-watak yang lebih bercabar. Kalau ada peluang saya terima sahaja. "Rezeki di mana-mana, buat apa sekali pun apa yang penting adalah kita menjaga hak Allah sebaiknya. Saya terima berlakon sebelum ini sebab watak polis," ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!