HUBUNGAN pelakon Datuk Aaron Aziz dan pengarah Syamsul Yusof masih belum pulih sejak isu persengketaan di antara mereka tercetus tahun lalu. Bagaimanapun, Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 48, memuji tindakan Syamsul yang sudah berdamai dan kembali ke pangkuan keluarga baru-baru ini. “Tak, tiada berhubung langsung dengan dia (Syamsul). Aaron dan Syamsul masih tidak berhubung antara satu sama lain. “Tapi kalau dia dan keluarga dia sudah berdamai baguslah, Alhamdulillah. Itu sahaja yang boleh saya cakap,” katanya kepada mStar. Aaron berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Sesi Meet And Greet With Aaron Aziz di Mee Hiris China Muslim, Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur pada malam Jumaat. Jelas Aaron, dia mengetahui hubungan pengarah itu sudah pulih dengan keluarganya selepas melihat foto Syamsul bersama keluarga tular di media sosial. Namun, pelakon filem Sheriff itu berkata ia hanya terhenti di situ kerana enggan mencampuri urusan peribadi Syamsul dan keluarganya. ARTIKEL BERKAITAN: “Kau cakap pergi cucuk! Aku pergi cucuk” – Aaron Aziz dedah terpaksa ambil suntikan demi puaskan hati Syamsul ARTIKEL BERKAITAN: “Tak payah masuk campur”... Aaron Aziz bagi amaran, minta Sharnaaz jangan sibuk konflik dengan Syamsul “Saya hanya lihat gambar keluarga bahagia mereka dan Puteri Sarah pun ada kat situ. “Selain daripada itu, saya tidak ada nak korek-korek atau baca. “Sebab saya jarang nak ambil tahu fasal rumah tangga orang lain,” jelasnya. Syamsul kembali bersua muka dengan keluarga selepas sekian lama. Pada 11 September lalu, ibu Syamsul iaitu Datin Patimah Ismail berkongsi foto di Instastory kepulangan anaknya ke pangkuan keluarga selepas sekian lama tidak bersua muka. Untuk rekod, pada Mac tahun lalu, persengketaan antara dua selebriti itu bermula selepas Syamsul bertindak menggugurkan nama Aaron sebagai salah seorang pelakon filem The Original Gangster. Menurut pengarah itu, dia membuat keputusan berkenaan kerana risau dengan masalah kesihatan Aaron dihadapi aktor tersebut ketika itu. Aaron ketika hadir bertemu peminat di restoran Mee Hiris China Muslim. Sehingga kini, Aaron dan Syamsul tidak berhubung mahupun berjumpa bagi menyelesaikan persengketaan di antara mereka berdua. Dalam perkembangan lain, Aaron menyantuni 70 orang peminat semasa sesi Meet And Greet yang dilangsungkan. Malah Mee Hiris China Muslim dipilih sebagai lokasi majlis tersebut bersempena pembukaan kedai itu ke-34. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!