PELAKON Fasha Sandha gagal menahan air mata apabila mengenangkan sahabatnya iaitu aktres Fazura yang sedang berdepan krisis rumah tangga. Pernah melalui fasa sama, Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 40, sentiasa mendoakan yang terbaik dan menyokong setiap keputusan dibuat Fazura berhubung perkahwinannya dengan aktor Fattah Amin. “Kami sudah saling mengenali sejak usia saya 17 tahun manakala Fattah pula merupakan rakan Aidil. Dua-dua rakan dan saya rapat dengan Fazura. Saya mendoakan yang baik-baik buat mereka. Fasha mendoakan yang terbaik buat Fazura. “Sebagai sahabat sudah pasti saya tidak mahu melihat dia berada di titik terendah namun hanya Fazura tahu apa dilaluinya. “Kenapa dia minta cerai, hanya dia yang tahu. Sebab wanita ini ada hadnya. Saya juga pernah melalui kegagalan dalam perkahwinan. Saya pernah failkan penceraian terhadap bekas suami,” katanya kepada mStar. Fasha berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa program Zumba Bersama Abby Abadi anjuran Inayah Beauty di The iSpace, Petaling Jaya pada pagi Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: Masih menunggu rezeki cahaya mata lelaki, Fasha Sandha dan Aidil Aziz mohon doa peminat ARTIKEL BERKAITAN: Fasha Sandha menangis teresak-esak tak dapat beraya di Perlis, terpaksa kuarantin dijangkiti Covid-19 Tambah Fasha, dia dan suami iaitu Aidil Aziz cukup terkesan dan beremosi apabila membaca berita mengenai pasangan tersebut. “Saya dan suami tidak pernah bersembang fasal rumah tangga artis lain. Tetapi apabila melibatkan Fattah dan Fazura, kami berdua sangat emosi,” ujarnya. Bercerita tentang persahabatannya dengan Fazura, Fasha mendedahkan aktres itu pernah menghadiahkan 20 pasang baju raya ketika dia bergelar ibu tunggal. Saya rasa sangat kerdil jika dibandingkan dengan Fazura. Fazura adalah antara selebriti yang saya idolakan FASHA SANDHA PELAKON “Saya kenang budi Fazura... Dia tidak pernah lupa memberikan saya baju raya sepanjang tiga tahun saya bergelar ibu tunggal. “Saya menangis sebab ingat pengorbanan Fazura beri baju raya sampai 20 pasang. Air mata ini bukan drama, kalau boleh tak mahu menangis namun apa terjadi dugaan untuk Fazura dan keluarga. “Fazura sentiasa layan saya dengan baik. Saya rasa sangat kerdil jika dibandingkan dengan Fazura. Fazura adalah antara selebriti yang saya idolakan,” ujarnya. Fasha kenang kembali kebaikan Fazura. Fasha juga sempat menitipkan pesan supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi selagi perkara tersebut tidak disahkan tuan badan. “Fattah dan Fazura datang dari keluarga yang baik. Kita sebagai orang luar tidak boleh menilai apa berlaku terhadap mereka, hanya Fattah dan Fazura yang tahu kisah sebenar. “Tidak perlu juga buat kronologi sendiri, apa sepatutnya kita buat adalah mendoakan terbaik buat mereka. Jangan tambah yang bukan-bukan,” katanya. Pada 13 September lalu, Fazura memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Fazura dan Fattah ketika hadir di mahkamah bagi sebutan kes cerai. Prosiding kes pasangan itu yang disebut pada 25 September lalu bagaimanapun ditangguhkan pada 7 Oktober 2024. Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 3 tahun. Dalam perkembangan lain, program Zumba bersama Abby turut diserikan dengan kehadiran selebriti seperti Bella Astillah, Puteri Sarah Liyana dan Nora Danish. Program itu juga diadakan bagi mengumumkan Abby sebagai duta produk Berryfull Honey Lemon iaitu sejenis minuman detox. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!