PENYANYI Sharul Kamal terpaksa dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Puchong, Selangor akibat jangkitan kuman pada bahagian peti suara. Menurut Sharul atau Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman, 28, dia mula mendapatkan rawatan sejak Isnin lalu selepas mengalami batuk berpanjangan. "Saya batuk sudah hampir dua minggu, tetapi tak dapat buat pemeriksaan awal sebab jadual kerja yang padat. Sharul bimbang masalah kesihatan yang dialami menjadi lebih teruk. "Apabila melakukan pemeriksaan Isnin lalu, didapati ada jangkitan kuman. Kata doktor ia berpunca daripada batuk berpanjangan," katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu. Sharul sebelum itu berkongsi perkara berkenaan di Instagram miliknya. Tambahnya doktor menasihatkan supaya berehat dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti nyanyian dalam masa terdekat. ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Sharul Kamal bersuara tuntut hak sebagai pelakon utama, lega salah faham dengan produksi filem ‘Seratus’ selesai ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 14 tahun menanti, konsert sulung Drama Band ‘full house’... Pukau penonton menerusi persembahan aksi lasak Sebagai seorang penyanyi, sakit sebegini pastinya memberi kebimbangan buat Sharul kerana suara adalah punca dia mencari rezeki. "Secara fizikal saya sihat sahaja. Tetapi rasa sedikit down sebab suara adalah sumber saya cari makan. Doktor nasihat saya tidak boleh bekerja dan rehat mungin dalam tempoh dua minggu. "Sekarang ini masih mengambil antibiotik dan beberapa ubat lain. Saya juga perlu melakukan pemeriksaan susulan selepas pulih nanti," ujarnya. Sharul kini dalam tempoh rehat. Penyanyi ini juga memberitahu dia terpaksa menangguhkan beberapa jadual kerja susulan masalah kesihatan dialami. Malah ketika dihubungi, Sharul juga tidak boleh banyak bercakap dan kedengaran suara perlahan. "Dari segi persembahan memang tiada dalam masa terdekat sebab semuanya sudah selesai. Cuma ada beberapa kerja di studi perlu ditangguhkan," jelasnya. Kali terakhir Sharul tampil membuat persembahan adalah di acara The Hardest Malam Drama yang berlangsung pada Sabtu lalu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!