RAMAI mungkin tidak mengetahui pelakon hebat Fauziah Ahmad Daud pernah membawa diri ke kota London hanya disebabkan putus cinta. Fauziah atau mesra disapa Ogy, 62, berkata, dia membawa diri selepas hubungan cintanya bersama seorang pemuda tidak menjadi selain terpaksa berdepan pelbagai cabaran sehingga mengambil keputusan membawa diri. Tidak hanya itu, Ogy memberitahu dia juga pernah disekat untuk menerima sebarang tawaran berlakon selama empat tahun ketika itu gara-gara kisah percintaannya itu. Ogy bawa diri ke London kerana kecewa. "Bohong kalau saya cakap saya tidak rasa kecewa atau frust. Saya hanya manusia biasa. Saya kecewa dan pergi bercuti ke London bersama kawan-kawan rapat. "Saya mengaku situasi itu (putus cinta) tidak mudah bagi saya. Saya digam. Empat tahun saya digam tidak boleh berlakon sedangkan perkara itu (bercinta) sudah berlalu. Takkanlah saya masih digam? "Macam-macam perkara diperlakukan kepada saya. Nak kena bunuhlah, nak kena tembaklah. Apa sahaja saya tak lalui. Orang tak tahu kan?," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Aktor idam trofi Oscar, Ogy nasihat baiki lakonan jangan harap cantik saja ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Saya tak cakap pun nak nikah” - Fauziah Ahmad Daud tolak bertemu jodoh tapi amin doa peminat Fauziah berkongsi perkara itu menerusi sesi temu bual di podcast Tanah Berdaulat TV yang dihoskan bekas wartawan meja jenayah Utusan Malaysia, Syaril A Kadir pada malam Selasa. Dalam pada itu, Fauziah memberitahu dia jatuh cinta kepada lelaki tersebut kerana sikapnya yang merendah diri dan menghormati orang tuanya. "Bila bertemu seseorang yang boleh menerima saya seadanya dan lelaki itu sangat merendah diri. Itu yang membuka hati saya. Saya ingat lagi kata mak saya, dia (lelaki) itu enggang, kita ini pipit (tidak sekufu) FAUZIAH AHMAD DAUD PELAKON "Saya dilahirkan dalam keluarga orang seni yang sering dipuji walaupun kadang-kadang kita tahu ia hanya palsu. "Saya menyukai lelaki itu bukan kerana siapa diri dia tetapi sikap rendah diri yang dimiliki. Dia menghormati ibu bapa dan hormat saya sebagai wanita," ujarnya mengimbas kenangan lama itu. Sedar akan hubungan yang terjalin tidak direstui, pelakon filem Azura ini bagaimanapun terpaksa berkorban untuk memutuskan hubungan kerana menganggap mereka tidak ditakdirkan untuk bersama sebagai suami isteri. Ogy kongsi kisah cinta pertama yang terputus di tengah jalan. Kata Fauziah, maruahnya sebagai wanita adalah jauh lebih penting daripada mempertahankan hubungan cinta tersebut. "Saya harus katakan dalam cinta perlu ada pengorbanan tetapi apa yang saya bangga dengan diri saya, tiada siapa boleh beli Fauziah Ahmad Daud. "Saya seorang yang berpegang teguh dengan prinsip. Bagi saya, maruah saya tidak boleh dibeli. Saya percaya kalau bukan milik saya, ia (jodoh) bukan milik saya. "Saya ingat lagi kata mak saya, dia (lelaki) itu enggang, kita ini pipit (tidak sekufu). Tapi saya seorang wanita yang akan move on," jelasnya. Fauziah bagaimanapun memberitahu dia tidak pernah menyesal mencintai lelaki berkenaan dan akur dengan ketentuan yang telah ditakdirkan untuknya. Aktres berkenaan juga mengakui dia turut menangisi keputusan untuk tidak lagi bersama. "Dia memang cinta pertama saya, saya tidak pernah menyesal kerana jatuh cinta kepadanya. "Saya menangis sepuasnya. Ada masa kita perlu menghormati pihak itu (lelaki). Tak mengapa saya rasa terluka kerana saya tahu untuk memulihkan rasa kecewa saya," katanya. Untuk rekod, Ogy pernah berkahwin dengan seniman Eman Manan pada 23 Disember 1990 namun mereka berpisah 13 tahun kemudian. Menerusi perkahwinan itu, mereka tidak dikurnia cahaya mata. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!