ANAK perempuan pelakon Zahirah Macwilson yang dimasukkan ke sebuah hospital sejak beberapa hari lalu disahkan mengalami ekzema dan alergi terhadap protein susu lembu (CMPA). Zahirah atau Nur Zahirah Macwilson Zainol Macwilson, 29, berkata, disebabkan itu dia berhenti memberi susu formula kepada anaknya iaitu Inara Raisa bagi mengelakkan masalah sama berulang. Sebaliknya, Zahirah akan kembali memberi fokus kepada pemberian susu badan untuk bayi perempuannya. Zahirah berkongsi keadaan Inara yang semakin baik. "Alhamdullilah Inara semakin baik, kami discaj semalam. Terima kasih semua atas doa, nasihat dan kata-kata baik anda. "Saya akan berhenti seketika mencuba susu formula dan fokus semula pada perjalanan penyusuan saya untuk kesihatan bayi perempuan saya kerana dia mengalami masalah ekzema ringan dan CMPA. "Cuba tingkatkan bekalan saya dengan mengepam, minum banyak air, makan, rehat dan perkara boleh membantu (menambah susu badan),” katanya. Zahirah berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instastory miliknya pada pagi Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN: Zahirah Macwilson timang bayi perempuan, pilih nama Inara Raisa ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh menyamar sebagai diri sendiri, akaun TikTok Zahirah Macwilson digantung Dalam pada itu, Zahirah mengakui perjalanan memberi susu badan secara eksklusif kepada anaknya bukan perkara mudah. Malah aktres itu terbuka menerima cadangan daripada pengikutnya di Instagram untuk berkongsi kaedah menambah susu badan. "Jika sesiapa pun melalui cabaran sama, anda tidak bersendirian sebab ia tidak mudah! "Sebarang cadangan tentang cara untuk meningkatkan (susu badan), saya ingin dengar dan berkongsi dengan anda semua," jelasnya. Zahirah bersama suami dan dua orang anaknya. Sebelum ini, Inara dibawa ke hospital selepas badannya mula menunjukkan kesan merah dan ruam kesan daripada memberi susu formula berasaskan protein lembu. Tambah Zahirah, doktor memberi saranan untuk mencuba susu berasaskan soya sebagai pengganti. Sekiranya perkara sama berlaku, barulah doktor menyadankan Inara diberi susu daripada protein kambing. Untuk rekod Zahirah mendirikan rumah tangga dengan aktor Aiman Hakim Ridza pada 20 Februari 2020. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Isaac Raees, 3, dan Inara Raisa yang kini berusia lima bulan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!