MERIAH! Portal hiburan dan gaya hidup mStar meraikan ulang tahun ke-19 pada tahun ini bersama peminat menerusi acara mStar Birthday Splash pada Sabtu. Bertempat di taman tema air Sunway Lagoon, Petaling Jaya, program itu dimeriahkan dengan kira-kira 100 orang pembaca bertuah. Acara itu turut dihangatkan dengan kehadiran barisan selebriti popular tanah air seperti Aisha Retno, Ismail Izzani, Zaki Yamani dan The Gadys. Ismail & Aisha menghiburkan peminat. Malah ramai tidak kering gusi melihat telatah lucu personaliti media sosial iaitu Ryan Bakery yang menjadi penyeri sepanjang acara berlangsung. Menjadi selebriti pertama melakukan persembahan, aksi bersahaja Aisha Retno berlari dalam dewan sebelum mendendangkan lagu popularnya Sutera memecahkan tawa penonton. Begitu juga dengan persembahan Zaki Yamani menyampaikan lagu nyanyian bapanya iaitu Datuk Jamal Abdillah berjudul Gadis Melayu dengan ditemani dua orang pemabaca setia mStar menari di atas pentas. Antara artis yang menjadi peserta dalam acara mStar Birthday Splash. Selain Aisha dan Zaki, pentas sambutan ulang tahun ke-19 mStar turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada kumpulan The Gadys menerusi lagu Gadis dan Bunga manakala Ismail Izzani pula mendendangkan lagu terbaharunya, Iman. Pada pertengahan acara, selebriti yang hadir mengambil peluang beramah mesra secara dekat dengan pembaca menerusi aktiviti permainan Amazing Race bersama pihak Sunway Lagoon. Antara momen yang menarik tumpuan apabila badan Ismail terpaksa ditimbus di dalam pasir oleh ahli kumpulannya demi menyelesaikan salah satu cabaran dalam permain tersebut. Ryan jadi ketua kumpulan lengkapkan Sunway Challenge. Bercerita pemgalamannya, Ismail mengakui aktiviti berkenaan sebenarnya membuka peluang untuk dia menunjukkan sisi lain kepada orang luar yang tidak pernah dipamerkan sebelum ini. “Seronok sebab semua orang sangat sempoi, dapat sama-sama buat aktiviti luar yang sihat macam ini sesuatu yang bagus. mStar kena buat lagi tahun depan! “Peluang ini sangat penting untuk saya sebab mereka dapat kenal diri saya yang sebenar. Sebelum ini mungkin baca artikel orang dah menilai kita, tapi hari ini saya dapat tunjukkan sisi lain yang mereka tak pernah nampak lagi,” katanya. Acara turut diserikan dengan kehadiran Dr Ahmad Samhan Awang. Sepanjang permainan berlangsung selama satu jam itu, semua selebriti dilihat saling berbual mesra dan bergurau senda seperti rakan baik dengan ahli kumpulan mereka. Bersyukur menjadi sebahagian daripada acara mStar, salah seorang anggota The Gadys iaitu Aznie menyifatkan peluang berinteraksi bersama peminat sebegini tidak selalunya datang. Justeru itu, mereka memanfaatkan masa yang ada agar dapat merapatkan lagi hubungan malah membuktikan sebarang tanggapan negatif terhadap mereka tidak benar. Zaki beramah mesra bersama peminat menerusi aktiviti menarik. “Saya gembira dapat menjadi salah seorang yang meraikan ulang tahun mStar, lagi-lagi dapat buat aktiviti yang seronok dengan ramai peminat hari ini. Dapat jumpa dan berkenalan dengan orang baru. “Peluang macam ini saya rasa dapat membuktikan bahawa tiada jarak yang memisahkan selebriti dengan peminat. Saya harap lepas buat aktiviti ini mereka sedar yang saya juga orang biasa seperti mereka,” ujarnya. Pada akhir acara, tiga kumpulan yang diketuai oleh anggota The Gadys iaitu Ayunie dan Azmie serta Ryan Bakery dinobatkan sebagai pemenang selepas berajaya menamatkan permainan. Ia dijayakan dengan kerjasama dan sokongan daripada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, HIM Wellness Sdn Bhd, Dr Ahmad Samhan Awang sebagai penaja utama sementara Axisto Empire Enterprise dan Sunway Lagoon pula sebagai rakan strategik. Ismail cukup bersemangat memulakan Sunway Challenge. Turut hadir adalah Pengarang Eksekutif Rekabentuk Kandungan, Tung Eng Hwa mewakili Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group, Datin Paduka Esther Ng. Ditubuhkan pada 2005, mStar menghampiri usia dua dekad sebagai portal hiburan dan gaya hidup terulung. Dilancarkan oleh Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, mStar pada hari ini kekal menjadi pilihan utama masyarkat untuk mencari kandungan hiburan, viral dan sensasi. Kejayaan demi kejayaan dilakar, antaranya memecah rekod purata paparan halaman sebanyak 20 juta dengan lapan juta pelawat unik sebulan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!