KETIKA timbul pelbagai spekulasi berhubung penarikan diri dalam program Famili Duo musim keempat (FD4), penyanyi Yazmin Aziz memilih untuk tidak memanjangkan isu tersebut. Kata Yazmin, 23, tidak kira apa yang berlaku dia tetap akan memberikan sokongan buat dua sahabatnya iaitu Didi Astillah dan Thamiera Chan yang menyertai pertandingan berkenaan. "Saya hanya mahu mengucapkan selamat berjaya buat Didi dan Thamiera dalam penyertaan mereka di program Famili Duo. "Saya tetap positif dan mahu hidup gembira. Industri hiburan kita kecil sahaja. Tidak kira apa yang berlaku, saya percaya lebih baik kami saling memberikan sokongan ke atas satu sama lain," katanya ketika dihubungi mStar. Yazmin enggan memanjangkan isu penarikan diri dalam FD4. Dalam pada itu, Yazmin berkata dia mempunyai matlamat untuk melakukan yang terbaik sekiranya diberi peluang untuk menyertai mana-mana program realiti televisyen. "Salah satu matlamat dalam hidup saya adalah untuk menjadi lebih baik daripada yang saya lakukan di program Big Stage dua tahun lalu. "Jadi jika saya berada dalam Famili Duo atau mana-mana rancangan TV lain, sudah tentu saya ingin memberikan yang terbaik untuk keluarga dan orang yang selama ini memberikan sokongan terhadap diri saya," ujarnya. Memandang perkara ini daripada sudut positif, Yazmin percaya rezekinya masih luas memandangkan usianya yang masih muda. ARTIKEL BERKAITAN: Yazmin Aziz tarik diri berentap di ‘Famili Duo 4’, Thamiera (The Gadys) pasangan baharu Didi Astillah ARTIKEL BERKAITAN: Didi Astillah terima keputusan Yazmin Aziz, tak letak harapan tinggi kerana sedar diri "Alhamdulillah, saya percaya rezeki saya luas dan saya juga masih muda lagi. Di usia 23 tahun, saya masih menerima sokongan keluarga dan itu membuatkan saya sangat-sangat bersyukur. "Insya-Allah lebih banyak peluang untuk saya nanti, kita tidak tahu kan? Nantikan pengumuman yang saya akan maklumkan dalam masa terdekat ini," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Yazmin memberitahu dia kini sedang sibuk menghasilkan lagu baharu dalam bahasa Melayu dan Tagalog. Tidak kira apa yang berlaku, saya percaya lebih baik kami saling memberikan sokongan ke atas satu sama lain. YAZMIN AZIZ PENYANYI Selain itu, penyanyi berkenaan turut bakal bekerjasama dengan Jabatan Pelancongan Filipina dalam mempromosikan aktiviti pelancongan. "Saya sedang dalam proses menulis lagu baharu dalam bahasa Melayu dan Tagalog. Ada lima lagu baharu juga yang sudah siap untuk dilancarkan. "Saya juga sibuk menjalani penggambaran iklan komersial dengan Jabatan Pelancongan Filipina. Selain itu, banyak juga persembahan nyanyian yang saya terima. Yazmin mahu kembali fokus kepada kerjaya nyanyian selepas tamat belajar. "Alhamdulillah saya gembira sebab dapat fokus menyanyi semula selepas habis belajar tempoh hari," katanya. Pada 13 Oktober lalu, nama Yazmin diumumkan sebagai pasangan duo Didi dalam sidang media program Famili Duo 4. Bagaimanapun, beberapa hari sebelum FD4 memulakan pentas saingan, Yazmin dikhabarkan mengundurkan diri dan bakal diganti oleh penyanyi lain. Pada malam Ahad, anggota kumpulan The Gadys iaitu Thamiera diumum sebagai pasangan baharu Didi dalam program realiti berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!