suria

Debaran kian terasa, Anugerah Seri Angkasa kembali selepas 2 tahun… Edisi 2024 cipta rekod terima 1,860 pencalonan!

ASA 2024 mengiktiraf pemain-pemain industri penyiaran di Malaysia.

DEBARAN sudah mula terasa bagi mengetahui siapakah pemenang trofi berprestij Anugerah Seri Angkasa edisi 2024 (ASA2024) yang bakal berlangsung pada 26 Oktober ini.

Bertemakan Kilauan Prestij, Citra Kegemilangan, ASA2024 menggambarkan keunggulan, kemegahan dan nilai eksklusif dimiliki kepada penerimanya.

Bagi edisi tahun ini, ASA2024 bakal memberi pengiktirafan menerusi 60 kategori yang dipertandingkan iaitu 40 kategori televisyen, 16 kategori radio dan empat menerusi media baharu.

Ketika Majlis Kira Detik ASA2024.

Ketika Majlis Kira Detik ASA2024.

Antara kategori televisyen yang bakal mencuri perhatian nanti termasuklah Drama TV Terbaik, Drama Bersiri TV Terbaik, Hiburan Muzikal TV Terbaik, Komedi TV Terbaik dan Majalah TV Terbaik.

Tidak ketinggalan Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik, Pelakon Wanita Drama TV Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak TV Terbaik, dan Pelakon Komedi TV Terbaik.

Manakala bagi kategori Radio, sudah pasti mencuri perhatian adalah Penyampai Radio Terbaik, Penyampai Berita Radio Terbaik, Liputan Radio Terbaik, Hiburan Radio Terbaik dan Buletin Radio Terbaik.

Menerusi Media Baharu, empat kategori dipertandingkan termasuk Drama Terbaik, Drama Bersiri Terbaik, Kandungan Video Terbaik dan Podcast Terbaik.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya memang tiada kereta, Allah makbulkan doa saya” - Fauziah Nawi Tokoh Seri Angkasa 2022, dikejutkan hadiah MPV Mitsubishi Xpander

ARTIKEL BERKAITAN: Meriah ASA2022! Macam-macam fesyen ‘red carpet’, sampai ada tampil seperti pendekar

Bagi kategori Drama TV Terbaik lima tajuk yang tersenarai dalam Top 5 adalah Rekah Di Jari Kak Long siaran TV2, Walking With Darkness (TV2), Azan Terakhir (TV Okey), Bahalol (TV Okey) dan Lebai Sampan (Astro Citra).

Drama Bersiri TV Terbaik pula memperlihatkan dua pencalonan daripada Astro Ria menerusi One Cent Thief dan Project High Council, Rindu Kasih dan Jaga Aku Selamanya (TV3) dan Demi siaran TV Okey.

Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik pula memperlihatkan persaingan di antara Nasir Bilal Khan (Azan Terakhir), Sobri Anuar (Bahalol), Fattah Amin (Matahari Tak Bercahaya), Datuk Rosyam Nor (Jangan Malu Menangis) dan Iman Zulkarnain (Jeman).

Pelakon Wanita Drama TV Terbaik pula Liza Othman (Bahalol), Nad Zainal (Matahari Tak Bercahaya), Fauziah Ahmad Daud (Adik Kakak), Nabila Huda (Hari-Hari Terakhir Sorang Pendosa) dan Wan Maimunah (Derhaka Seorang Ibu).

Kategori Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik antara yang mencuri tumpuan.

Kategori Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik antara yang mencuri tumpuan.

ASA2024 juga berjaya mencipta rekod tersendiri apabila menerima sebanyak 1,860 pencalonan bagi kesemua kategori dipertandingkan.

Daripada jumlah tersebut, 1,287 menghantar pencalonan bagi kategori televisyen, 515 untuk radio dan 58 menerusi media baharu.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 17 peratus daripada pencalonan diterima bagi ASA2022 iaitu 1,585 pencalonan.

Menariknya semua pemenang bagi 60 kategori ASA2024 akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 dan sebuah trofi.

Podcast Terbaik merupakan kategori baharu yang diwujudkan.

Podcast Terbaik merupakan kategori baharu yang diwujudkan.

Bagi pemenang kategori Drama TV Terbaik pula akan menerima hadiah tambahan iaitu Insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) sebanyak RM200,000 manakala Dokumentari TV Terbaik sebanyak RM150,000.

Sebagaimana penganjuran tahun sebelum ini, ASA2024 turut memberikan Anugerah Tokoh Seri Angkasa dan Anugerah Khas Juri.

Anugerah Tokoh Seri Angkasa bakal menerima wang tunai berjumlah RM10,000 serta sebuah trofi ASA2024.

Manakala Anugerah Khas Juri akan menerima wang tunai berjumlah RM8,000 dan sebuah trofi ASA2024.

Fauziah merupakan penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa bagi ASA2022.

Fauziah merupakan penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa bagi ASA2022.

Untuk memastikan setiap anugerah dinilai dengan telus, Kementerian Komunikasi melantik juri yang terdiri dalam kalangan profesional seperti ahli akademik bidang seni kreatif dan pemain industri berkelayakan.

Malah penganjuran ASA edisi ke-36 turut dimeriahkan lagi dengan penyertaan lima penaja utama iaitu Habib Jewels, DRB HICOM, Telekom Malaysia Berhad (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Roadcare (M) Sdn. Bhd.

Edisi sebelum ini (ASA2022) berjaya menjadi penanda aras terbaik dengan mengangkat pemain-pemain dalam industri yang selayaknya diberikan pengiktirafan atas hasil kerja dan penat lelah mereka.

Antaranya naskhah Pencipta Pegang Waktu terbitan Primeworks Studios (PWS) dan Gambo.TV diangkat sebagai Drama TV Terbaik, manakala karya penerbit dokumentari Social Playlist, iaitu Herbert Pua Kuo Jie pula dipilih bagi kategori Dokumentari TV Terbaik.

Sementara itu, pelakon veteran Datuk Fauziah Nawi pula dinobatkan Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan sebuah kereta Mitsubishi Xpander.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyokong penuh penganjuran ASA2024.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyokong penuh penganjuran ASA2024.

Penganjuran ASA2024 merupakan satu inisiatif kerajaan memberikan suntikan semangat kepada penggiat industri penyiaran untuk terus berkarya dan menerbitkan kandungan kreatif yang berkualiti tinggi.

Anugerah ini juga merupakan platform memperjuangkan kecemerlangan sekali gus mengiktiraf bakat-bakat terbaik dalam industri penyiaran di Malaysia.

ASA2024 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Oktober 2024, pukul 9.00 malam.

Acara gilang gemilang itu juga boleh ditonton menerusi siaran langsung saluran TV2 serta YouTube dan Facebook Kementerian Komunikasi.

Untuk info lanjut mengenai ASA2024 boleh melayari laman web Anugerah Seri Angkasa 2024.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain