suria

Tiada rezeki, Azlan Komeng dan isteri halalkan duit hilang dicuri ketika kemalangan

Nilam dan Azlan terpaksa menerima hakikat wang mereka tidak akan dikembalikan.

ISTERI kepada pelakon Azlan Komeng memaklumkan dia dan suaminya mengambil keputusan untuk mengahalalkan wang milik mereka yang dicuri ketika terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 11 Oktober lalu.

Isteri Azlan iaitu Nur Nilam Ortiz, 46, berkata mereka terpaksa menerima hakikat bahawa wang berkenaan tidak akan dikembalikan memandangkan tiada sebarang khabar mengenai perkara tersebut sehingga kini.

"Isu duit yang hilang itu, kami sedia maklum yang kami tak akan dapat duit itu semula. Jadi selepas difikirkan, saya dan suami pun dah berbincang.

Copy of Untitled - 2024-10-25T112339.415

Nilam berkongsi perkara itu menerusi hantaran di TikTok.

"Demi Allah demi Rasul kami halalkan duit tersebut dunia akhirat supaya jalan dan urusan kami dipermudahkan.

"Kami pun masih belum terima panggilan telefon atau mesej dari sesiapa untuk pulangkan wang berkenaan," katanya menerusi hantaran video di TikTok pada Khamis.

Dalam pada itu, Nilam memberitahu mereka sudah pun memaafkan pihak yang mencuri wang tersebut dan berharap si pelaku berubah.

Baginya, dia percaya kepada rezeki dan yakin akan ada ganjaran yang menanti buat dirinya dan suami.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak tergamak minta sumbangan, Azlan Komeng dan isteri syukur bisnes sos dapat sokongan

ARTIKEL BERKAITAN: Beg berisi wang hilang semasa kemalangan, isteri Azlan Komeng rayu pulangkan semula... Terpaksa jual barang kemas tampung pembedahan suami

"Untuk awak (pelaku) yang ambil duit kami, kami suami isteri halalkan duit tersebut. Supaya kejadian ini menjadi asbab untuk awak berubah, sama-sama doa.

"Semoga Allah lapangkan dan luaskan rezeki kami sekeluarga. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Kalau bukan rezeki, dalam mulut kita pun boleh terkeluar balik," jelasnya.

Pada 11 Oktober lalu, Azlan dan Nilam terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kuala Lipis, Pahang.

Kenderaan jenis Perodua Kancil dipandu pasangan itu bertembung dengan sebuah trak polis sewaktu dalam perjalanan ke tapak perniagaan.

2980128

Azlan mengalami patah bada bahagian tangan dan kedua-dua belah kaki.

Nilam turut mendedahkan mereka kehilangan wang bernilai hampir RM10,000 ketika kejadian.

Azlan atau Muhammad Azlan Kamiran, 48, mengalami patah pada bahagian tangan kanan dan kedua-dua belah kaki sehingga terpaksa jalani pembedahan manakala Nilam hanya cedera ringan.

Selepas prosedur pembedahan berkenaan, Azlan dilaporkan berisiko lumpuh andai kaki kirinya tidak dijaga dengan baik.

Untuk rekod, Azlan dan Nilam mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain