PENGANJURAN Malam Nostalgia Down Memory Lane pada 1 November ini dilihat sebagai salah satu cara mengembalikan kegemilangan irama Pop Yeh Yeh dalam kalangan peminat terutama generasi baharu. Presiden Artis Veteran Malaysia, Sandakiah Azez Satar, 55, berkata, menerusi konsert itu juga ia dapat memberi peluang kepada artis terlibat menjana pendapatan. "Tujuan penganjuran persembahan makan malam ini diadakan bagi mengembalikan semangat irama Pop Yeh Yeh dan memberi peluang kepada artis-artis veteran ini menjana pendapatan. "Kami juga mahu menggembalikan zaman-zaman peminat yang menghargai lagu-lagu lama," katanya kepada mStar. Jefrydin antara artis yang bakal membuat persembahan pada malam tersebut. Dalam pada itu, Sandakiah memberitahu pemilihan lokasi konsert di Miri, Sarawak dibuat selepas mendapat permintaan tinggi daripada peminat muzik retro di negeri berkenaan. Selain itu, pemilihan Miri juga dibuat bagi memberi peluang peminat dari Brunei turut serta memeriahkan acara tersebut. "Persembahan kali ini juga bukan sahaja untuk menarik penonton di Sarawak tetapi juga dari Brunei. Ramai sebenarnya peminat-peminat muzik retro dari sana. "Alhamdulillah banyak juga permintaan persembahan artis veteran sampai ada minta kami adakan persembahan di Kuching, Sarawak. ARTIKEL BERKAITAN: Setiap bulan terima berita artis veteran sakit, PKAVM anjur ‘Sepanjang Jalan Kenangan’ kumpul dana ARTIKEL BERKAITAN: Rahmad Mega puji artis veteran cari duit guna TikTok, lebih baik daripada tunggu tawaran kerja "Insya-Allah akan ada banyak lagi persembahan akan kami anjurkan tahun depan," ujarnya. Tidak hanya berhibur, Sandakiah berkata, sebahagian penjualan tiket pada malam itu nanti akan disumbangkan ke tabung yayasan bagi membantu golongan artis veteran memerlukan. Sandakiah yang merupakan anak kepada pelakon legenda Allahyarham Datuk Aziz Sattar turut memuji komitmen ditunjukkan barisan penyanyi terlibat pada malam itu nanti. Kami mahu menggembalikan zaman-zaman peminat yang menghargai lagu-lagu lama. SANDAKIAH AZEZ PRESIDEN ARTIS VETERAN MALAYSIA Kata Sandakiah, walaupun ada di antara mereka sudah mencecah usia 70-an namun mereka masih mampu menyanyi dengan baik. "Komitmen barisan artis pada malam itu nanti memang terbaik. Malah kesemua mereka bersemangat dan teruja menghiburkan peminat. "Contohnya abang A. Rahman Onn, walaupun beliau menetap di Johor tetapi dia paling teruja nak ke Miri bagi menghiburkan peminat nanti," katanya. Abon turut menghiburkan peminat di acara Malam Nostalgia Down Memory Lane. Malam Nostalgia Down Memory Lane bakal menyaksikan persembahan daripada penyanyi veteran termasuk Datuk Jefrydin, J. Sham, S. Mariam, Datuk Siti Fairus, Abon dan ramai lagi. Bertempat di Pullman Miri Waterfront, Miri, Sarawak, majlis makan malam tersebut akan berlangsung pada 1 November ini. Penjualan meja VIP masih dibuka dengan harga bermula RM200 sehingga RM500 seorang. Tempahan boleh dibuat di talian 010-456 6776 atau layari laman Facebook Yayasan Artis Veteran Malaysia untuk maklumat lanjut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!