suria

4 hari menjelang konsert, Ezad Lazim diuji masalah sinus… Bimbang kecewakan peminat

Ezad mengalami masalah sinus menjelang konsert yang bakal berlangsung pada Ahad.

TINGGAL lebih kurang empat hari sebelum konsert, penyanyi Ezad Lazim terganggu dengan masalah resdung atau sinus yang dihidapinya sejak sekian lama.

Ezad atau Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 45, berkata, masalah sinus itu menyebabkan pernafasan dan suaranya terganggu sekali gus mendatangkan kembimbangan untuk membuat persembahan di konsert Battle Of Time Exists X Masdo pada 10 November ini.

"Sebenarnya saya mengalami masalah sinus ini sudah lama tapi sejak dua atau tiga minggu ini saya jadi makin risau kerana konsert sudah hampir.

"Semalam (Isnin) saya pergi klinik dan doktor beritahu masalah sinus saya semakin serius.

ezad2 - 1

Ezad berharap dapat melakukan persembahan dengan baik sewaktu konsert.

“Kalau ikutkan dari dulu doktor suruh buat pembedahan tetapi disebabkan jadual kerja padat saya tidak melakukannya.

"Pernafasan dan suara saya jadi terganggu. Memang saya boleh menyanyi tetapi sebagai penyanyi saya tidak puas hati sekiranya tidak dapat membuat persembahan dengan baik," katanya kepada mStar.

Ezad berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Umrah Langkah Seiringan Exists yang diadakan di Hotel Royal Chulan, The Curve, Damansara pada Selasa.

Dalam pada itu, Ezad memberitahu sebagai penyanyi dia mahu memberikan persembahan terbaik kepada penonton lebih-lebih lagi mereka sudah mengeluarkan wang membeli tiket.

ARTIKEL BERKAITAN: Exists dan Masdo bergabung atas satu pentas, peminat dua generasi tak sabar nak tonton ‘Konsert Battle Of Time’

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sekadar berhibur... Exists sumbang RM20,000 hasil jualan tiket konsert, bantu golongan anak seni memerlukan

Tamnbah Ezad, dia terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan kerana doktor menyarankan dia berehat sebelum menjelang hari konsert.

"Bagi saya, peminat bayar tiket untuk melihat persembahan terbaik tetapi bila saya tidak dapat menyanyi dengan baik, saya rasa macam tidak puas.

"Penganjur mungkin tak kisah asalkan saya teruskan persembahan tapi bagi saya, ini kerjaya saya. Saya rasa perlu lakukan sesuatu. Namun saya serahkan semuanya kepada Allah.

Sebagai penyanyi saya tidak puas hati sekiranya tidak dapat membuat persembahan dengan baik.

EZAD LAZIM

PENYANYI

"Doktor menyarankan saya berehat sebelum konsert dan disebabkan itu saya terpaksa menolak tawaran persembahan... Tak mengapalah saya percaya kepada rezeki," ujarnya.

Ezad bagaimanapun merancang menjalani pembedahan sinus tahun depan selepas melunaskan komitmen kerja sepanjang tahun ini.

"Saya sudah berbincang dengan isteri, insya-Allah tahun depan selepas selesai semua komitmen kerja saya akan lakukan pembedahan.

"Saya terpaksa berehat sekejap untuk fokus kepada rawatan. Saya rasa perlu lakukan rawatan susulan itu juga agar tidak lebih memudaratkan," katanya.

ezad1 - 1

Dari kiri: Musa, Ezad, Ajai, Along dan Ujang bakal menunaikan umrah bersama pada Januari depan.

Dalam perkembangan lain, Ezad meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang untuk menunaikan umrah bersama kumpulan Exists pada 22 Januari depan.

Kongsi Ezad, ibadah umrah ini dapat merapatkan lagi hubungan ukhwah mereka dan dalam masa sama memberi peluang kepada anggota Exits yang lain termasuk Along, Musa Radhi, Ujang dan Ajai menunaikan umrah buat pertama kali.

"Tak sangka tiba-tiba Allah buka rezeki untuk kami pergi umrah bersama-sama. Saya gembira dengan peluang walaupun sudah menjejakkan kaki ke Tanah Suci tetapi anggota Exists yang lain belum ke sana lagi.

"Jadi bila semua teruja untuk pergi ini adalah rezeki untuk kami. Di samping itu juga, Exists turut mengalu-alukan juga kalau ada mana-mana individu yang mahu menunaikan umrah bersama kami," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain