suria

[V] Danny X-Factor masih buat e-hailing, gigih bangun kerja pukul 4 pagi... Tak mahu meminta duit isteri

SANGGUP bangun bekerja seawal pukul 4 pagi, pelakon Danny X-Factor mengakui seronok dan tidak malu untuk meneruskan pekerjaan sebagai pemandu e-hailing.

Kata Danny atau nama sebenarnya Mohd Khardanie Anwa, 44, dia meneruskan kerjaya itu kerana tidak mahu menjadi beban keluarga sehingga perlu meminta duit daripada isteri.

Malah Danny juga menganggap pekerjaan sebagai pemandu e-hailing itu adalah lebih menggembirakan dan berbaloi berbanding kerja berkaitan industri hiburan.

Danny 1

Danny ketika ditemu bual pada Khamis.

"Saya rasa seronok dan berbaloi. Kalau kerja produksi, bayaran memang banyak. Sekali dapat bayaran, terus habis. Kalau buat Grab, hari-hari ada duit untuk bayar semua bil.

"Saya akan keluar rumah pukul 4 pagi dan pulang sebelum waktu Maghrib. Saya sebenarnya lebih memilih untuk bawa Grab daripada terlibat dalam produksi.

"Jadi, tak adalah nak minta duit isteri. Bagi saya, kewangan antara punca masalah rumah tangga artis sekarang ini. Isteri pun kata kalau saya keluar (kerja) dan dapat RM50 pun cukuplah. Mana-mana isteri nak tengok suami bekerja saja," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Danny X-Factor turun 15kg dalam tempoh empat bulan, diet tanpa produk kurus selepas ditegur peminat

ARTIKEL BERKAITAN: Arrora Salwa sanggup ambil cuti tanpa gaji selama 4 bulan demi GV11, peluang kembali menyinar sebagai penyanyi

Danny memaklumkan perkara itu ketika ditemui semasa pelancaran drama Unifi TV Originals berjudul Sebelum Titik Noktah pada Khamis.

Jelas pelakon itu, dia tidak pernah terfikir untuk berhenti daripada melakukan pekerjaan tersebut kerana ia sudah menjadi sumber pendapatan.

Malah, Danny memaklumkan sekiranya terlibat dengan kerja produksi, dia tetap akan mencari masa terluang untuk membuat Grab.

Danny 2

Danny akan memandu Grab sekiranya isterinya sudah pulang daripada kerja.

"Saya bawa Grab ini sejak 2017 tetapi itupun hanya tiga hari seminggu sebab isteri saya kru kabin. Kalau dia kerja saya jaga anak, dan kalau dia sudah pulang, saya bawa Grab," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Danny bakal muncul dalam drama bergenre fiksyen dan thriler iaitu Sebelum Titik Noktah yang ditayangkan bermula 11 November, setiap Isnin pukul 11 malam menerusi Saluran 120 di Unifi TV.

Drama terbabit turut dibintangi Aiman Hakim Ridza, Puteri Balqish, Noki, Shabby, Mathni Razak dan Alif Muhaimin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan