suria

Banyak lagu ‘Gen Z’ gagal ke AJL39, tiada daya saing tinggi punca terkandas

Lagu-lagu penyanyi muda tidak cukup kuat untuk bersaing di pentas AJL39.

KETIADAAN lagu-lagu daripada ‘Gen Z’ di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) tahun hadapan adalah disebabkan tidak mempunyai daya saing tinggi.

Mengakui kagum dengan usaha yang ditunjukkan bakat baharu, Ketua juri Semi Final Muzik-Muzik ke-39 (SFMM39), Edry Abdul Halim berharap mereka tidak berputus asa dan sentiasa dapat mengeluarkan karya terbaik selepas ini.

“Pemarkahan banyak bergantung pada persembahan pada malam ini. Kita juga mahukan lagu yang ada daya saing kerana AJL ini bukanlah untuk persembahan tetapi pertandingan. Banyak lagu menghiburkan tetapi tiada daya saing yang kuat.

sfmm 3

Edry (kanan) selaku ketua juri SFMM39.

“Saya kagum apabila banyak peserta Gen Z, lagu-lagu TikTok tampil, tetapi masih belum mempunyai daya saing yang cukup kuat.

“Saya harap mereka tidak berputus asa dan perbaiki lagi serta ambil ini sebagai satu pengalaman,” katanya kepada mStar.

Edry memaklumkan perkara itu ketika sidang media sejurus selesai pengumuman 10 lagu yang layak ke AJL pada tahun depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Saingan vokal Aina Abdul, Marsha, Ernie dan Nadeera... Ini 10 lagu layak ke AJL39

ARTIKEL BERKAITAN: Gagal ‘all out’ di SFMM39, masalah vokal jadi penghalang... Khai Bahar harap peminat tak marah

Ditanya tentang pemilihan 10 lagu ke pentas AJL kali ini, Edry berkata semuanya dilakukan dengan teliti bagi memastikan setiap kategori muzik seperti balada, hiphop, dan etnik kreatif mempunyai wakil.

“Kami tidak mahu persembahan yang membosankan. Oleh itu, pemilihan berdasarkan kualiti lagu dan kepelbagaian genre sangat penting. Setiap markah sangat rapat, dengan perbezaan hanya dua hingga tiga peratus antara lagu layak dan tidak.

“Proses penjurian turut mengambil kira pra-penjurian 80 peratus berdasarkan melodi dan lirik, manakala baki 20 peratus dinilai berdasarkan persembahan pentas semasa SFMM39,” dedahnya.

Saya harap mereka tidak berputus asa dan perbaiki lagi serta ambil ini sebagai satu pengalaman

EDRY ABDUL HALIM

KETUA JURI SFMM39

Selain Edry, kesemua 30 lagu yang bertanding di SFMM39 turut diadili oleh barisan juri profesional, iaitu Datuk Mokhzani Ismail, Efry Arwis, Ly Baiduri, Helen Yap, dan Ad Samad.

Dalam masa sama, ditanya mengenai hanya 10 lagu yang mara ke AJL39, Pengurus Besar Kandungan Siaran TV3, Marlia Zulamran menjelaskan, ia kerana pada tahun ini terlalu banyak lagu kategori balada bertanding di SFMM.

“Tahun ini memilih 10 sahaja lagu kerana melihat kepada 30 buah lagu yang bersaing di SFMM adalah kebanyakkannya lagu-lagu balada, jadi pihak juri dan produksi membuat keputusan memilih 10 sahaja lagu terbaik dan memberi daya saing untuk dipertandingkan diperingkat akhir,” ujarnya.

sfmm 2

Aina dan Hafiz antara yang layak ke pentas AJL39.

AJL39 dijadualkan berlangsung pada awal tahun hadapan di Axiata Arena, Buki Jalil dengan tarikh rasmi akan diumumkan oleh pihak penganjur tidak lama lagi.

10 lagu yang bakal berentap adalah Diam oleh Hael Husaini, Puas Sudah (Aina Abdul), Hening Rindu (Marsha Milan), Aura (Ernie Zakri) dan Terus Bersinar (Hafiz Suip).

Selain itu, turut ke AJL39 adalah lagu Pujaanku oleh Masdo feat. Aisyah Aziz, Risiko (Benzooloo, Tuju & MK K-Clique), Sengaja (Amir Masdi), Saksama (Akim And The Majistret) dan Bukan Lagi Kita (Nadeera).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain