TERCALON dalam Top 5 bagi kategori Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), pelawak dan pelakon Sabri Yunus menganggap dirinya masih baharu sebagai seorang pengarah filem. Bersyukur namanya tersenarai dalam kategori berkenaan, Sabri atau Muhammad Sabri Yunus, 63, bagaimanapun turut memuji kemampuan dan semangat ditunjukkan oleh pengarah muda yang lain. "Saya sebenarnya masih muda sebagai pengarah filem walaupun usia sudah melepasi takrifan muda. Sabri bersyukur tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik FFM33. "Tapi saya sangat bersyukur kerana terpilih dalam barisan ke pentas akhir ini, berada dalam senarai pun sudah satu pencapaian tertinggi buat saya. "Saya melihat pengarah muda hari ini sangat berkemampuan serta mereka juga mempunyai impian dan visi tersendiri untuk dicapai," katanya. Pencalonan Sabri itu diberikan atas sentuhannya yang unik dan cemerlang menerusi filem Duan Nago Bogho. Duan Nago Bogho adalah sebuah karya yang memperincikan budaya dan kehidupan masyarakat tempatan, sekaligus mempamerkan kepekaan Sabri dalam mengangkat naratif yang dekat dengan jiwa penonton. ARTIKEL BERKAITAN: Sabri Yunus perjuang maruah budaya Mak Yong dalam ‘Duan Nago Bogho’, singkap kehidupan masyarakat Kelantan ARTIKEL BERKAITAN: ‘Imaginur’ dan ‘Abang Adik’ ungguli senarai pencalonan Festival Filem Malaysia ke-33 Berbekalkan pengalaman yang luas sebagai anak seni, Sabri berkata generasi muda perlu mempersiapkan diri dengan memiliki kemahiran dan daya tahan mental untuk mencapai sesuatu kejayaan. "Saya ingin mereka tahu bahawa proses kreatif mungkin penuh dengan cabaran dan rintangan, namun setiap pengalaman itu adalah pelajaran berharga yang akan memantapkan kemahiran dan ketahanan mental mereka. "Marilah kita bersama-sama mewujudkan ekosistem perfileman yang segar dan berinovasi, di mana bakat-bakat muda boleh muncul dengan lebih berani dan yakin. "Melalui upaya kolektif ini, saya yakin kita akan dapat mencipta karya-karya yang menginspirasi, mencabar minda, dan membawa mesej-pesan yang bermakna kepada penonton, seterusnya membentuk masa depan industri perfileman yang lebih cerah dan dinamis,” ujarnya. Sabri anggap dirinya masih baharu sebagai seorang pengarah. Selain Sabri, nama lain yang tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik ialah Nik Amir Mustapha menerusi filem Imaginur, Nizam Razak (Mechamato), Syafiq Yusof (Sheriff: Narko Integriti), dan Tunku Mona Riza (Rain Town). Malam kemuncak Anugerah FFM33 akan berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Radio Televisyen Malaysia, Angkasapuri, Kuala Lumpur, pada 7 Disember depan. Acara berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!