suria

Abai simptom selama setahun, pelakon Marc Syahmie hidap kanser testis pada usia 25 tahun - “Jika ada rasa pelik, pergilah buat pemeriksaan”

Syahmie kuat berdepan ujian penyakit kanser.

PELAKON Marc Syahmie mendedahkan dia disahkan menghidap kanser testis pada Oktober lalu.

Syahmie atau Ahmad Syahmie Mahayudin, 25, memberitahu pada awalnya dia tidak dapat menerima hakikat menghidap barah pada usia muda apatah lagi tidak mempunyai sejarah keluarga yang menderita kanser.

"Saya terduduk juga apabila disahkan ada kanser apatah lagi keluarga tiada sejarah penyakit berkenaan.

"Saya hanya mampu fikir sakit adalah penghapus dosa dan mula berlapang dada serta berdamai dengan takdir," katanya kepada mStar.

syahmie 2

Syahmie berkongsi pengalaman menjalani rawatan kanser.

Bercerita tentang kanser dihidapinya, pelakon ini tidak menyangka sakit pada bahagian tulang belakang dan bengkak pada bahagian testis merupakan simptom penyakitnya.

Bagaimanapun kata Syahmie, dia lambat membuat pemeriksaan kerana tidak pernah terfikir akan menghidap kanser selain berada dalam fasa penafian.

"Jika ada rasa pelik pada mana-mana bahagian anggota badan, tolong buat pemeriksaan. Jangan jadi seperti saya yang dalam penafian selama setahun," ujarnya.

Dalam pada itu, Syahmie memberitahu dia selamat menjalani pembedahan membuang sel kanser di bahagian testis kiri November lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bengkak di testis selepas selesai kemoterapi, Kieran perlu jalani pembedahan buang cecair lebihan

ARTIKEL BERKAITAN: Lan Zailan hidap kanser pankreas tahap 4, sel barah sudah merebak ke hati dan paru-paru

Pelakon itu juga selesai menjalani rawatan kimoterapi dos tinggi sebanyak satu pusingan dan sudah kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

"Selepas seminggu rawatan kimoterapi saya sudah boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

"Doktor pun ada beritahu saya boleh sihat sepenuhnya memandangkan saya masih muda," katanya.

Jangan jadi seperti saya yang dalam penafian selama setahun

MARC SYAHMIE

PELAKON

Syahmie mengakui ada perasaan malu tentang penyakit dideritainya kerana bimbang dengan tanggapan masyarakat.

Namun dia tampil terbuka bercakap mengenainya kerana mahu memberi kesedaran tentang bahaya kanser tersebut yang boleh menyerang lelaki berusia 25 tahun ke atas.

"Kanser bukanlah penamat kehidupan, sebaliknya menjadikan saya lebih bersyukur dan memandang kehidupan daripada sudut berbeza.

syahmie 3

Selain berlakon Syahmie juga aktif sebagai model.

"Apatah lagi dengan teknologi perubatan sekarang, kualiti kehidupan pesakit boleh jadi lebih baik malah doktor memberi jaminan saya akan pulih sepenuhnya dalam tempoh setahun.

"Malah penyakit itu bukan pengakhiran kerana pesakit masih boleh menjalani kehidupan normal termasuk berkahwin dan memiliki cahaya mata," katanya.

Syahmie yang juga pelakon drama Skuad X: Dari Jalanan Ke Perjuangan adalah seorang penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain