DI SEBALIK kesedihan berdepan keguguran, pelakon Amyra Rosli berlapang dada menerima ujian tersebut kerana sedar dirinya masih belum bersedia untuk menimang cahaya mata ketiga. Dedah Amyra atau Nur Amira Izzati Rosli, 33, banyak perkara menjadi kebimbangannya sejak peringkat awal kehamilan terutamanya tanggungjawab menjayakan aksi lasak menerusi telefilem terbaharu berjudul Larian Terakhir. Jelasnya, dia tidak dapat mengelak kerana sudah pun bersetuju untuk terlibat dalam naskhah tersebut sebelum mengetahui mengenai kehamilannya lagi. “Selepas dapat tahu mengandung sebenarnya saya agak berfikir panjang kerana terlibat naskhah yang sangat berat ini. Aksi lakonannya ada melibatkan fizikal dan mungkin berisiko untuk ibu mengandung. Amyra percaya keguguran yang dialami mempunyai hikmah tersendiri. “Tambahan lagi suami pula akan ke Tanah Suci nanti, siapa pula yang akan jaga anak-anak kalau saya berkerja. “Mungkin Allah tahu saya belum bersedia untuk mengandung maka sebab itulah saya keguguran sebelum usia kandungan capai lima minggu,” katanya kepada mStar. Sebelum ini, Amyra berkongsi dia mengalami keguguran akibat kehamilan kimia atau chemical pregnancy. Dalam pada itu, Amyra menganggap ujian berkenaan membawa hikmah apabila dia dapat memberikan sepenuh fokus terhadap pengambaran telefilem berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Amyra Rosli dah kerja seperti biasa, tak perlu berpantang selepas keguguran ARTIKEL BERKAITAN: Amyra Rosli keguguran, alami ‘chemical pregnancy’ Tambahnya, memikul tanggungjawab besar sebagai pelakon memerlukannya mempamerkan prestasi terbaik. “Saya rasa apa yang berlaku itu ada hikmah. Andai kata saya masih mengandung dan berlakon pula aksi lasak. Perkara itu tidak baik untuk saya dan kandungan. “Mungkin keadaan mengandung itu juga akan menyusahkan pihak penerbit sebab tak dapat buat banyak babak. Saya kalau berlakon memang akan beri yang terbaik,” kongsinya. Tidak meletakkan sebarang harapan untuk kembali hamil, Amyra menyerahkan soal zuriat kepada yang Maha Esa dan enggan terlalu memikirkan tentangnya. Mungkin Allah tahu saya belum bersedia untuk mengandung sebab itulah saya keguguran. AMYRA ROSLI PELAKON Malah, kehadiran dua cahya mata sudah dirasakan memadai memandangkan dia dapat menumpukan sepenuh perhatian dan kasih sayang buat mereka. “Itu semua kuasa Allah, sama ada diberi atau tidak rezeki itu, saya tetap bersyukur. Tak mengapa sebab saya pun dah ada sepasang cahaya mata. “Tiada sebarang tekanan, malah saya pun lebih gembira kerana anak-anak pun sudah semakin membesar dan lebih mudah diuruskan. “Kalau nak mengandung pun mestilah sebelum usia menginjak 35 tahun kerana memikirkan juga risiko kesihatan. Perlu fikirkan masa depan anak-anak, tak mahu dah berumur tapi anak masih kecil,” kongsinya. Amyra membintangi sebuah telefilem terbaharu berjudul Larian Terakhir. Untuk rekod, Amyra melangsungkan perkahwinan bersama aktor Amar Baharin pada November 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aqeef Anaqi, 7 dan Ayra Aryssa yang kini berusia empat tahun. Dalam perkembangan lain, Amyra membintangi telefilem terbaharu berjudul Larian Terakhir yang bakal disiarkan pada 15 Disember depan. Selain Amyra, telemovie berkenaan turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat lain termasuklah Fattah Amin, Fahrin Ahmad, Sherie Merlis dan Ameerul Asyraf. Larian Terakhir bakal menemui penonton menerusi saluran 120 Degup di Unifi TV. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!