SUDAH 22 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, pelakon Fahrin Ahmad belum pernah merangkul sebarang anugerah mahupun pengiktirafan atas bakat lakonannya. Fahrin, 45, bagaimanapun berkata dia tidak pernah merasa kecewa sebaliknya menganggap rezeki masih belum berpihak pada dirinya. "Saya antara pelakon yang tidak pernah menang anugerah pun, paling tinggi Top 5. Tetapi pada saya itu tidak menjadi masalah. Fahrin berkongsi perkara itu ketika ditemui majlis pelancaran koleksi Eid 2025 Mayang. "Saya berkarya bukanlah untuk mengejar anugerah dan saya tak terkilan pun. Itu semua bergantung kepada rezeki masing-masing," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, Fahrin turut mengagumi kejayaan aktres Susan Lankester meraih trofi Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) pada usia 62 tahun. Jelasnya, pencapaian tersebut membuktikan kehebatan seseorang pelakon akan terserlah sekiranya didukung dengan naskah serta produksi yang baik. ARTIKEL BERKAITAN: Fahrin Ahmad syukur isteri hampir setahun berhijab, doa kekal istiqamah ARTIKEL BERKAITAN: “Ini dinamakan jodoh melintas depan mata”- Fahrin buka kisah 20 tahun lalu menang pakaian terbaik dengan isteri "Kita lihat kejayaan Susan di FFM33 baru-baru ini, di usia 62 tahun baru dia dapat merasa genggam anugerah. Jadi biar masa menentukan. "Sehebat mana pun kita membawa watak tetapi ia perlu dirangkumkan dengan naskhah serta produksi yang bagus untuk melayakkan kita bertanding dalam sesuatu anugerah. Dalam pada itu, Fahrin mengakui anugerah bukanlah segalanya, namun dia bersyukur dirinya masih dianggap relevan dan rezeki tidak putus sehingga kini. "Tak bermakna kita tidak bagus kalau tak menang anugerah. Yang penting jujur dengan diri sendiri dan berikan yang terbaik. "Apa yang membuatkan saya puas selepas 22 tahun dalam industri, saya masih dapat tawaran dan orang masih mahu melihat lakonan saya," kongsinya. Fahrin tidak mengejar anugerah semata-mata sepanjang bergelar anak seni. Dalam perkembangan lain, Fahrin membintangi telefilem terbaharu berjudul Larian Terakhir yang bakal bersiaran pada 15 Disember depan. Selain Fahrin, telemovie berkenaan turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat lain termasuklah Fattah Amin, Amyra Rosli, Sherie Merlis dan Ameerul Asyraf. Larian Terakhir bakal menemui penonton menerusi saluran 120 Degup di Unifi TV. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!