suria

Hormati mangsa banjir, Konsert ‘Tsumawi Live In Kuala Lumpur’ ditunda

Konsert Mawi yang bakal berlangsung Januari ini ditunda.

MEMIKIRKAN musibah banjir yang melanda negara, Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 25 Januari ini ditunda pada Julai depan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh pihak penganjur iaitu Showtag Asia menerusi Instagram miliknya yang menyifatkan penundaaan itu sebagai menghormati mangsa banjir yang terjejas di beberapa buah negeri.

"Showtag Asia ingin memaklumkan bahawa Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 25 Januari 2025 di Megastar Arena, Kuala Lumpur terpaksa ditunda ke Julai 2025.

mawi1 - 1

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak penganjur di laman Instagram.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi semasa, khususnya bagi menghormati para peminat dari negeri-negeri yang terkesan akibat bencana banjir.

"Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh masyarakat ketika ini, dan atas dasar keprihatinan serta keutamaan terhadap keselamatan dan kesejahteraan semua pihak, konsert ini diputuskan untuk ditangguhkan," katanya.

Dalam pada itu, penundaan konsert ini dilihat secara positif, dalam masa sama dapat memberi ruang kepada pihak penganjur membuat persiapan lebih rapi bagi pengalaman luar biasa buat peminat.

ARTIKEL BERKAITAN: Mawi sanggup gunting rambut panjang demi konsert, anak menangis semasa ‘live’ botakkan kepala

ARTIKEL BERKAITAN: Mawi tak tolak rezeki, ‘job’ menyanyi di majlis kahwin pun terima

"Penundaan ini juga memberi kami peluang untuk memastikan persiapan lebih rapi, sekali gus menawarkan pengalaman konsert yang lebih baik kepada semua peminat.

"Kami percaya langkah ini adalah yang terbaik untuk semua pihak yang terlibat," ujarnya.

Pihak penganjur bagaimanapun memohon maaf atas keputusan yang dibuat dan menjelaskan tiket yang dibeli peminat masih kekal sah untuk tarikh baharu ditetapkan.

"Tiket yang telah dibeli di @santaiticket kekal sah untuk tarikh baharu, dan sebarang perkembangan terkini akan dikemas kini melalui laman web rasmi serta platform media sosial kami.

mawi2 - 1

Mawi mengambil keputusan untuk menunda tarikh konsert pada Julai depan.

"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat penundaan ini, dan mengucapkan terima kasih atas sokongan serta pemahaman anda," katanya.

Pada September lalu, penyanyi Mawi atau Asmawi Ani, 43, memaklumkan bakal menganjurkan Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur sempena dua dekad pembabitannya dalam bidang seni.

Mawi dijangka menyampaikan lebih 20 buah lagu termasuk lagu yang pernah dinyanyikannya ketika menyertai Akademi Fantasia 3.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain