suria

Hubungan keluarga makin erat, Yusof Haslam gembira Syamsul kerap datang rumah

Yusof (kiri) harap hubungan keluarga terus baik.

PENGAKHIRAN tahun 2024 disifatkan cukup indah buat penerbit Datuk Yusof Haslam apabila hubungannya dengan anak iaitu Syamsul Yusof sudah kembali bertaut.

Bersyukur hubungan itu sudah pulih, Yusof, 71, berkata Syamsul kini lebih kerap pulang ke rumah bertemu ibunya iaitu Datin Patimah Ismail.

“Alhamdulillah, dua tiga tahun kebelakangan ini memang pahit tetapi sekarang ini saya gembira Syamsul kembali pulang ke pangkuan keluarga dan sudah berbaik.

yusof haslam 2

Yusof harap anaknya terus aktif menghasilkan filem baharu.

“Sekarang dia pun selalu balik rumah, malam tadi kami baru sahaja makan malam bersama. Saya nak hubungan ini terjaga, itu paling mustahak.

“Dia pun semalam elok berpeluk dengan ibu dia, hati saya gembira melihatnya,” katanya kepada mStar.

Yusof ditemui ketika sidang media pengumuman Astro Shaw Cinematic Universe yang berlangsung di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Syamsul Yusof akhirnya pulang jumpa ibu bapa, pertemuan turut disertai Puteri Sarah

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan bapa kau sudah tiada baru nak cari!” - Bertahun tak balik rumah, Yusof Haslam bimbang Syamsul menyesal

Dalam pada itu, Yusof turut berkongsi keinginan Syamsul untuk kembali menghasilkan filem dibawah terbitan syarikatnya iaitu Skop Production.

Gembira dengan keputusan tersebut, Yusof bagaimanapun tidak mahu memaksa malah memberi kebebasan buat anaknya itu menimba pengalaman berkerjasama dengan produksi luar.

“Dia ada beritahu hasrat untuk hasilkan filem untuk saya. Walaupun banyak buat filem bersama penerbit luar, dia nak kembali mengarah filem dengan Skop Production.

Yang penting bagi saya adalah hubungan anak beranak ini sentiasa terjaga

DATUK YUSOF HASLAM

PENERBIT

“Tetapi bukan sekarang memandangkan dia ada komitmen lain dan agak sibuk. Saya tak kisah, terpulang kepada dia untuk cari pengalaman.

“Yang penting bagi saya adalah hubungan anak beranak ini sentiasa terjaga,” jelasnya.

Dalam pada itu, Yusof tetap meletakkan harapan ingin melihat anak-anaknya meneruskan legasi yang dibina bersama Skop Production pada masa akan datang.

syamsul 1

Ramai gembira hubungan keluarga Syamsul kembali pulih.

“Saya ingatkan dia jangan tinggalkan Skop Production. Itu tempat dia dilahirkan dan perjuangan saya berpuluh tahun.

“Dan saya pun perlukan anak saya untuk meneruskan perjuangan itu. Semoga mereka berjaya dalam karier masing-masing,”kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Yusof berkongsi perancangan bakal menerbitkan dua buah filem menerusi kerjasama di antara Skop Production dengan Astro Shaw pada 2025.

Menurutnya, karya yang bakal ditayangkan pada tahun depan adalah Sheriff 2 manakala filem kedua masih dalam lagi fasa perbincangan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia