TAHUN 2024 menjadi tahun penuh bersejarah bagi industri seni tempatan khususnya selebriti tempatan yang mencipta pelbagai kejayaan besar dalam karier masing-masing. Ini termasuk dalam lapangan muzik, perfileman dan seni visual. Lebih membanggakan mereka tidak hanya berjaya mengukir sejarah peribadi tetapi turut mengharumkan nama di peringkat antarabangsa. Tidak ketinggalan tahun ini juga menyaksikan ramai selebriti tempatan wanita yang mencipta kejayaan tersendiri dan membanggakan seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Susan Lankester, Aina Abdul dan Siti Saleha. Sorotan mStar 2024 menghimpunkan kejayaan diraih penggiat seni tempatan sama ada di dalam dan luar negara sepanjang tahun ini. Penganugerahan Siti sebagai Biduanita negara direstui peminat. 1. Siti Nurhaliza - Biduanita Negara Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza mencipta sejarah apabila muncul sebagai wanita ketiga diberi penghormatan penerima Anugerah Biduan Negara pada Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 pada 13 November lalu. Anugerah tersebut diberikan kepada Siti bukan sahaja aktif dalam seni suara malah berjaya mengangkat seni budaya dan warisan ke peringkat antarabangsa. Siti merupakan penyanyi wanita ketiga yang pernah menerima anugerah sama selain Allahyarham Puan Sri Saloma pada tahun 1978 dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006. Kecantikan Saleha jadi perhatian netizen Korea Selatan. 2. Siti Saleha - Bintang Asia Terbaik Pelakon Siti Saleha mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Bintang Asia Terbaik di Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 pada 25 September lalu. Lebih hebat lagi, aktres berkenaan berjaya menumpaskan lima lagi pesaing hebat termasuk dari Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura. Bakat dimiliki Susan dikagumi ramai. 3. Susan Lankester - 2 trofi Pelakon Wanita Terbaik Pada usia 62 tahun, pelakon veteran Susan Lankester mencipta sejarah tersendiri apabila menerima anugerah Pelakon Terbaik sebanyak dua kali dalam tempoh kurang seminggu. Susan muncul sebagai pemenang Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi Kreatif Asia (AACA) 2024 yang diadakan Singapura pada 5 Disember lalu. Beberapa hari kemudian, Susan muncul pula sebagai pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) yang diadakan pada 7 Disember lalu. Kemenangan kedua-dua trofi tersebut adalah hasil lakonan cemerlangnya dalam filem Rain Town. Fabian (kiri) dan Azria mula menunjukkan bakat masing-masing. 4. Azira Shafinaz & Fabian Loo - Cipta sejarah di APFF61 Pelakon dan penyanyi Azira Shafinaz dan Fabian Loo juga turut mengharumkan nama negara apabila menerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (APFF61) pada 1 Disember lalu. Fabian memenangi trofi tersebut hasil lakonan mantapnya dalam filem Rain Town manakala Azira pula menerusi Indera. Aina berjaya kuasai peminat di Malaysia dengan kemenangan ABPBH36. 5. Aina Abdul - Bintang Paling Polular ABPBH36 Usaha keras Aina Abdul sepanjang 2024 terbayar apabila dia memenangi trofi idaman ramai iaitu Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Paling Popular BH ke-36 (ABPBH36) pada 11 Oktober lalu. Dengan undian sebanyak lapan juta, Aina turut merangkul trofi Penyanyi Wanita Popular. Lagu Masing-Masing mengangkat nama Ernie di Indonesia. 6. Ernie Zakri - Artis kedua Malaysia menang di SCTV Music Awards Penyanyi Ernie Zakri terus mencipta nama di Indonesia apabila berjaya merangkul Soundtrack Sinetron Paling Ngetop di acara SCTV Music Awards di Indonesia pada 21 November lalu. Anugerah itu diberikan kepada Ernie selepas lagu Masing Masing yang menjadi runut bunyi drama di stesen TV Indonesia itu meraih pengiktirafan. Ernie merupakan artis Malaysia kedua memenangi anugerah dalam SCTV Music Awards selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza yang meraih trofi Artis Asing Paling Ngetop pada 2004. Hael tidak sangka dengan kemenangan itu. 7. Hael Husaini - Best Theme Song di AACA 2024 Lagu Diam nyanyian Hael Husaini dinobatkan pemenang Lagu Tema Atau Judul Tema Terbaik di Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA) 2024 pada 4 Disember lalu. Diam merupakan kerjasama Hael bersama komposer Iqie Hugh itu merupakan runut bunyi drama popular, My Famous Ex-Boyfriend lakonan Nadhir Nasar, dan Qasrina Karim. Jin Ong mewakili Abang Adik di Filem Terbaik di Festival Filem Asia Antarabangsa. 8. Abang Adik - Filem Terbaik Asia Filem Abang Adik diumumkan sebagai pemenang Filem Terbaik di Festival Filem Asia Antarabangsa ke-10 di Los Angeles pada 22 November lalu. Tidak terhenti di situ, Abang Adik turut mencatat pelbagai kejayaan di peringkat global apabila turut menerima trofi Filem Terbaik pada Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition ke-22) dan Golden Mulberry. Ia juga turut mendapat pengiktirafan di Black Dragon Critic's Award serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik pada Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali. Filem Imaginur raih tujuh anugerah di FFM33. 8. Imaginur - Filem Terbaik FFM33 Filem Imaginur mencipta sejarah apabila muncul sebagai pemenang kategori Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) pada 7 Disember lalu. Bukan hanya Filem Terbaik malah pengarahnya, Nik Amir turut muncul sebagai pemenang kategori Pengarah Terbaik. Filem tersebut turut membawa pulang lima lagi trofi pada FFM33 iaitu Penataan Seni Terbaik (Rabbani Sujak), Lagu Tema Terbaik (Hasrat), Penyunting Terbaik (Johan Arif Mazlan), Pelakon Lelaki Terbaik (Beto Kusyairy) dan Cerita Asal Terbaik (Redza Minhat & Nik Amir Mustapha). Imaginur berjaya menundukkan enam lagi saingan sengit dalam kategori tersebut iaitu Abang Adik, Sheriff, Rain Town, Mechamato, Duan Nago Bogho dan Hungry Ghost Diner. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!