DUNIA hiburan tidak akan meriah tanpa kisah kontroversi membabitkan selebriti tempatan dan tahun 2024 tidak terkecuali. Paling mendapat perhatian adalah kisah tangkap khalwat membabitkan dua pelakon iaitu Ruhainies dan Aliff Aziz. Kisah rumah tangga beberapa artis tempatan termasuk bekas model dan pelakon Zahnita yang mendedahkan menjadi mangsa keganasan rumah tangga ditangan suami sendiri. Dunia hiburan tempatan juga dikejutkan dengan berita mengenai pendakwah selebriti Da'i Syed dan PU Azman yang dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan jenayah seksual. Serbuan kediaman Vida di Ipoh, Perak turut mendapat perhatian ramai. Penutup 2024 pula dihidangkan dengan kisah barang-barang milik usahawan sensasi Datuk Seri Vida disita susulan gagal membayar hutang kepada kontraktor lebih RM1 juta. Tidak terhenti di situ, pelakon dan usahawan Rozita Che Wan juga menerima nasib sama apabila dia didakwa gagal membayar hutang pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 10 Disember lalu. mStar menghimpunkan beberapa kontroversi membabitkan selebriti tempatan sepanjang tahun ini. 1. Aliff Aziz dan Ruhainies ditangkap khalwat Pelakon Aliff Aziz sekali lagi buat hal apabila dicekup berkhalwat bersama aktres Ruhainies di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 9 Mac 2024. Pasangan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dakwaan berkhalwat di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 17 Oktober lalu. Kes berkenaan masih dalam proses bicara. Tidak terhenti di situ, isu berkenaan bertambah kecoh apabila seorang wanita dikenali sebagai Sarah Yasmine muncul mendedahkan dia kekasih Aliff. Sarah mendedahkan pelbagai tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai di antara Aliff dan wanita dinamakan sebagai NRF. Isu bertambah parah apabila Sarah turut mengheret beberapa nama selebriti lain termasuk Emma Maembong, Chacha Maembong, Sophia Albarakbah dan Meerqeen. Nama Aliff sekali lagi dikaitkan dengan kontroversi bersama wanita. 2. Anak dedah Halim Othman tak pernah kahwin Pelakon Myra Natasya mendedahkan dia sebenarnya adalah anak luar nikah kepada penyampai radio Halim Othman. Dedah Myra, ibunya tidak pernah berkahwin dengan Halim di Thailand seperti dicanang dan terpaksa menipu bagi menjaga nama baik penyampai radio berkenaan. 3. Azri Iskandar tak capai KPI sebagai suami Hasrat pelakon Azri Iskandar menamatkan zaman duda tidak kesampaian apabila hubungannya dengan usahawan Datuk Noora Kay berakhir dengan perpisahan. Noora memberitahu dia membuat keputusan tidak berkahwin dengan Azri kerana menganggap mereka tiada keserasian. Isu bertambah kecoh apabila bekas isteri Azri iaitu Ellie Suriaty pula mendedahkan punca mereka tidak jadi berkahwin kerana Noora tidak bersetuju dengan tarikh pernikahan mereka ditunda. Keretakan hubungan Azri (tengah) dan Noora (kanan) turut mendapat perhatian netizen. 4. Aisyah Hijanah dan Alif Teega didakwa seleweng derma awam Pada 23 September lalu, pasangan influencer Alif Teega dan Aisyah Hijanah mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan salah guna dana awam dianggarkan RM1.5 juta. Antara pertuduhan salah guna dana awam tersebut adalah berkaitan infaq kurma, infaq al-Quran, infaq pek makanan bagi fakir miskin, bantuan mangsa banjir selain sedekah pakaian raya untuk anak yatim. Kes masih dalam perbicaraan di mahkamah. ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Aziz dan Ruhainies tampil mohon maaf, bakal perjelas kejadian sebenar ditangkap khalwat ARTIKEL BERKAITAN: [V] Barang rumah Datuk Vida termasuk 4 kereta mewah bakal dilelong, tak bayar hutang lebih RM1 juta 5. Da'i Syed dijel 10 tahun Pendakwah selebriti Da'i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 30 Ogos lalu selepas didapati bersalah merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu. Bagaimanapun selepas 21 hari dipenjarakan, Syed dilepaskan sementara daripada menjalani hukuman di Penjara Kajang oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Aslam selepas membenarkan permohonan dibuat peguam Syed iaitu Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff. Kes berkenaan masih berjalan. Azman dipenjara atas kesalahan amang seksual melibatkan remaja lelaki. 6. PU Azman dipenjara 24 tahun amang seksual remaja lelaki Belum reda dengan isu pendakwah terpalit dengan kesalahan seksual, Pencetus Ummah (PU) Azman pula dijatuhi hukuman penjara selama 24 tahun dan dua sebatan oleh Makhamah Sesyen Klang pada 27 September lalu. Hukuman itu dijatuhi selepas Azman didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dalam kejadian dua tahun lalu. Bagaimanapun, hukuman penjara PU Azman ditambah selama 14 bulan kerana mengaku bersalah atas kelucahan melampau terhadap remaja lelaki, dua tahun lalu. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling selain pengawasan polis selama dua tahun selepas tertuduh selesai menjalani hukuman ditetapkan. PU Azman kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor. 7. Kontroversi Shuib Nama pelawak Shuib terus menjadi bualan netizen apabila terpalit dengan pelbagai kontroversi sepanjang tahun ini berkaitan perniagaan dan kehidupan peribadinya. Pada 11 November lalu, Shuib dan pengarah syarikat Bubblebee Sdn Bhd, Kho Choon Guan didenda sebanyak RM17,5000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan kegagalan membayar tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tahun lalu. Tidak hanya itu, Shuib dan Choon Guan juga berdepan enam lagi pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan termasuk penalti dianggarkan berjumlah RM1.6 juta tahun lalu. Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah dan kes berkenaan masih dalam perbicaraan. Shuib antara selebriti yang mendapat perhatian sepanjang tahun ini. 8. Barangan milik Vida bakal dilelong kerana gagal lunas hutang Padah tidak selesaikan hutang, aset milik usahawan sensasi Datuk Seri Vida di Taman Meru Heights, Ipoh Perak terpaksa disita. Perintah itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Vida atau Hasmiza Othman, 53, tidak membayar hutang berjumlah RM1,060,285 daripada kontraktor yang dilantik iaitu AH Design Communication bagi pengubahsuaian sebuah kilang di Shah Alam, Selangor menjadi studio pada tahun 2018. Dianggarkan 727 barangan milik Vida disita dalam proses yang berlangsung selama lima jam di banglo tiga tingkat miliknya pada 25 November lalu. Acara lelongan yang sepatutnya diadakan pada 9 Disember ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Vida selaku defendan menangguhkan proses berkenaan. 9. Zahnita dedah 20 tahun derita hidup sebagai isteri Isu rumah tangga pelakon dan model Zahnita Wilson mencuri perhatian ramai apabila aktres berkenaan mendedahkan dia dibelasah oleh suaminya sendiri iaitu Abdul Zackery Ghouse Abd Gafoor. Kongsi Zahnita, sebelum ini kejadian serupa pernah beberapa kali berlaku sepanjang 20 tahun perkahwinannya bersama suami. Malah aktres itu sudah buntu mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut rumah tangganya termasuk sudah membuat laporan polis namun mendakwa tiada tindakan diambil. Selepas kes ini tular, suami Zahnita ditahan polis bagi membantu siasatan. Abdul Zackery bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang atas pertuduhan melakukan kecederaan terhadap isterinya. Zahnita juga nekad memfailkan cerai terhadap suaminya selain sudah mendapatkan perintah perlindungan interim. Kediaman Rozita diserbu pihak Mara pada 10 Disember lalu. 10. Rumah Che Ta kena serbu Tiada angin tiada ribut, kediaman pelakon Rozita Che Wan diserbu Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 10 Disember lalu gara-gara gagal menjelaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta. Tindakan serbuan itu dipercayai dilakukan bagi membolehkan pihak Mara menilai barangan dalam rumah terbabit bagi tujuan penyitaan. Ketika serbuan dibuat, pelakon drama Kiah Perkasam itu tiada di kediaman tersebut melainkan ibunya sahaja. Sehingga kini, Rozita masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung dakwaan tidak melunaskan pinjaman dibuat. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!