PELAKON Datuk Jalaluddin Hassan menyangkal dakwaan cuba mengelak daripada pihak media ketika hadir memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Ops Sky pada 6 Februari lalu.
Jalaluddin, 70, yang dikaitkan dengan sebuah syarikat perunding kewangan sebaliknya menjelaskan dia hanya mengikut arahan diberikan pegawai SPRM yang mengiringinya.
"Tiada istilah ikut pintu belakang. Kami semua diarahkan untuk tunggu di dalam kereta dan selepas itu kami di bawa masuk oleh pegawai SPRM yang bertugas.
"Iyalah, kita sudah datang ke 'rumah' orang, jadi kita ikut sahaja arahan mereka," katanya kepada mStar.
Jalaluddin ketika ditemui media pada Khamis.
Jalaluddin menjelaskan perkara itu ketika ditemui pada program Tayangan Perdana Ramadan Raya Astro 2025 pada Khamis.
Dalam pada itu, Jalaluddin menegaskan dia hadir ke SPRM bukan sebagai suspek sebaliknya saksi bagi membantu siasatan.
Jalaluddin memberitahu sepanjang tiga jam disoal siasat, proses itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
"Saya hanya datang sebagai saksi dan memberi kerjasama yang baik kepada SPRM. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.
ARTIKEL BERKAITAN: Sekadar jalankan tugas sebagai duta... Jalaluddin Hassan belum terima panggilan SPRM bantu siasatan
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sangkal terima bayaran RM400,000 sebagai duta, Jalaluddin Hassan sedia beri kerjasama jika dipanggil SPRM
"Saya rasa seronok sebab ada (Datuk Dr) Sheikh Muszaphar dan Ziana Zain. Gembira dapat berjumpa kawan-kawan. Begitulah perasaan saya," katanya.
Menjelaskan mengenai penglibatannya sebagai duta, Jalaluddin memberitahu dia hanya terlibat dalam perkara berkaitan pemasaran semata-mata.
"Saya sendiri pun tak tahu transaksi melibatkan syarikat tersebut sebab tugas saya hanya diminta untuk melakukan promosi sahaja.
"Tugas saya hanya buat hantaran dan mengambil gambar untuk promosi sahaja. Saya pun tidak mahu bercakap lebih sebab kes masih dalam siasatan," ujarnya.
Jalaluddin menegaskan dia hanya saksi untuk membantu siasatan.
Siasatan terhadap selebriti berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan SPRM turut mendapati sindiket itu turut melabur sejumlah wang yang besar bagi penciptaan lagu membabitkan penyanyi tersohor negara.
Pihak SPRM juga mendedahkan sejumlah wang sebanyak RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket kononnya menawarkan bantuan kewangan, tetapi mengaut sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah pinjaman diluluskan bank-bank pada satu masa.
Sejak tiga minggu lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Dalam operasi berkenaan, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram yang dipercayai didalangi syarikat perunding kewangan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!