MUNCUL dengan lagu raya berjudul Raya Nak Ke Mana? Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata karya baharunya itu bukan untuk bersaing dengan penyanyi lain.
Kata Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, dia hanya mahu menjadi sebahagian daripada artis yang memeriahkan sambutan hari raya dengan mengekalkan konsep lagu Aidilfitri seperti sebelum ini.
Dek kerana sudah mempunyai beberapa lagu raya raya malar hijau pilihan pendengar, Siti memberitahu dia sedar peminat mempunyai ekspektasi tinggi terhadap lagu baharu yang dilancarkan ini.
Siti terkenal dengan lagu raya malar hijau pilihan peminat.
"Saya bukan mahu bersaing, kita hanya mahu memeriahkan sahaja. Mungkin sebab saya nampak senior sikit.
"Lagu-lagu raya saya sebelum ini menjadi siulan, jadi ekpektasi orang terhadap lagu raya saya yang baru ini tinggi.
"Tapi di hati saya, saya bukan nak bersaing dengan anak-anak muda. Mereka ada kelebihan sendiri. Saya nak mengekalkan sahaja konsep lagu raya yang saya bawakan sebelum ini," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Anta Permana’ jadi pilihan Raja Charles III, Siti Nurhaliza ingat kena tipu
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza tak sangka Raja Charles III suka lagu ‘Anta Permana’, ucap tahniah kepada komposer
Dalam pada itu, Siti meluahkan rasa bangga melihat lebih ramai penyanyi yang menghasilkan lagu raya untuk sambutan Aidilfitri kali ini.
Kongsi Siti, situasi ini membuktikan barisan penyanyi mampu berkarya dengan baik selain memberi banyak pilihan kepada pendengar.
Saya bukan nak bersaing dengan anak-anak muda. Mereka ada kelebihan sendiri.
DATUK SERI SITI NURHALIZA
PENYANYI
"Bagi saya bagus (banyak lagu raya) sebab semua orang boleh berkarya, kalau dulu kita boleh dengar lagu raya ni tak semeriah sekarang.
"Sekarang ini kalau kita lihat banyak lagu raya, maknanya semua artis berkarya dengan baik dan mahu memeriahkan hari raya dengan lagu-lagu baru.
"Jadi peminat banyak pilihan, mereka boleh dengar banyak lagu raya daripada pelbagai genre muzik," ujarnya.
Siti tumpang gembira melihat ramai penyanyi melancarkan lagu raya baharu.
Raya Nak Ke Mana? merupakan lagu terbitan SN Legacy Sdn Bhd dan Universal Music Sdn Bhd hasil karya ciptaan penyanyi Aisha Retno dan RADi.
Lagu raya berentak zapin ini dapat mengembalikan nostalgia lagu raya yang pernah dinyanyikan oleh Siti sebelum ini.
Selain Raya Nak Ke Mana?, Siti pernah popular menerusi lagu raya berjudul Sesuci Lebaran, Anugerah Aidilfitri, Nazam Lebaran dan Lip Lap Raya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!