suria

[V] Selepas 7 tahun bawa haluan masing-masing, akhirnya Ajak dan Shahrol Shiro ‘comeback’ atas pentas sama

TUJUH tahun tidak muncul bersama, kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol kembali mengubati kerinduan peminat menerusi pementasan Temasya Komedi Rakyat.

Ajak atau Mohd Hanafi Razak, 39, berkata keserasian itu masih lagi utuh meskipun mereka pernah berdepan sengketa sebelum ini.

Jelas Ajak, selepas berbaik pada Ogos tahun lalu, mereka lebih kerap meluangkan masa bersama sekali gus mengeratkan kembali hubungan yang renggang.

Shahrol (kanan) dan Ajak akui kerap luangkan masa bersama selepas berbaik.

"Umum tahu kami ada masalah sebelum ini, saya anggap biasa dalam persahabatan. Selepas kami bermaafan Alhamdulillah, setiap kali pulang ke kampung kami akan jumpa.

"Bila kami bersembang sampai pagi baru habis. Jadi saya rasa keserasian itu tiada masalah.

"Kami tengok mata saja sudah tahu apa dibualkan. Saya rasa tiada masalah," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sengketa 3 tahun Ajak dan Shahrol sudah berakhir, persahabatan kembali bertaut

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan terus ‘bogelkan’ isu dengan Ajak, Shahrol Shiro kata dialah sahabat paling rapat

Ajak berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Temasya Komedi Rakyat yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin.

Menurut Ajak, kemunculan kembali kumpulan Shiro sememangnya sudah lama dinanti peminat mereka.

Katanya, ia juga didorong pemintaan peminat yang sering bertanya dan merindui aksi mereka berdua di atas pentas.

"Saya faham disebabkan masa dan kehadiran pelawak baharu peminat kami mungkin berkurangan tapi Insya-Allah masih ada orang-orang yang minat kami.

Keserasian itu sudah ada tidak perlu dipupuk lagi.

SHAHROL SHIRO

PELAWAK

"Saya pun tak sabar nak tengok sendiri sama ada kami masih relevan atau tidak. Tapi sekiranya di media sosial ramai saja yang menantikan kemunculan kami. Ramai yang rindu sketsa komedi kami," jelasnya.

Sementara itu Shahrol atau Shahrol Azizie Azmi, 40, pula memberitahu keserasian yang terbina dari kecil masih lagi kukuh.

Hal itu dibuktikan dengan pertemuan sebelum ini yang mana mereka masih memahami isi hati masing-masing.

Shahrol (kiri) dan Ajak pernah bergelar juara Maharaja Lawak Mega.

"Kami kenal sejak kecil, keserasian itu sudah ada tidak perlu dipupuk lagi. Insya-Allah keserasian kami masih ada.

"Kami sudah berjumpa beberapa kali selepas berbaik hari itu, ketika berbual dan bersembang kami sudah tahu apa yang kami mahukan. Kami tahu macam mana nak membahan antara satu sama lain," kongsinya.

Selain kumpulan Shiro, Temasya Komedi Rakyat turut menampilan Nasir Bilal Khan, Danial Zaini, Fikry Ibrahim, Zulin Aziz serta ramai lagi.

Acara yang menghimpunkan pelawak hebat ini akan menjelajah ke empat lokasi seperti Pahang, Perak, Johor dan Singapura bermula Mei hingga Julai depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain