suria

Hikmah direhatkan, Nabil Ahmad dapat dekat diri dengan Allah... Kontrak sebagai duta tak terganggu

Nabil guna peluang dekatkan diri dengan Allah sepanjang tempoh rehat ini.

KONTROVERSI didakwa mempersendakan agama sebelum ini memberi banyak pengajaran kepada pelawak yang juga penyampai radio, Nabil Ahmad.

Direhatkan daripada program 3 Pagi Era, Nabil, 39, berkata dia reda dan percaya setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

“Saya percaya tiada perkara yang tidak baik. Mungkin daripada mata kasar kelihatan seperti tak baik, tetapi ada kebaikan tidak diketahui.

“Jadi, bersangka baiklah kepada Allah, pasti perkara baik-baik akan menyusul, insya-Allah,” katanya.

Nabil anggap setiap berlaku ada hikmah terbaik buat dirinya.

Dalam pada itu, Nabil berkata insiden berkenaan turut memberi pengajaran besar buat dirinya supaya lebih sensitif dengan keadaan sekeliling.

Malah dia kini lebih berhati-hati sebelum melakukan sesuatu perkara.

“Apa yang dapat saya katakan, semua pihak kena ambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

“Pengajarannya, kami juga kena lebih berhati-hatilah membuat video parodi pada masa akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN: Nabil Ahmad menangis dalam masjid dapat surat kena gantung tugas, terfikir masa depan anak-anak

ARTIKEL BERKAITAN: Nabil buat hal lagi, tak sengaja kongsi aurat isteri ketika video call - “Saya nampak dia macam bertudung”

Meskipun kontroversi menghambat pengacara Gegar Vaganza ini, namun ia sama sekali tidak menganggu kontraknya sebagai duta untuk jenama tekstil terkenal, Jakel.

Mengulas perkara ini, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata pihaknya melihat Nabil sebagai seorang individu yang ikhlas bekerja sepanjang 15 tahun bersama jenama berkenaan.

Nabil dapat lebih memberikan fokus beribadah sepanjang Ramadan ini.

“Jangan risau, kontrak Nabil tetap disambung, Semua orang buat silap dan Nabil pun sudah meminta maaf. Saya melihat Nabil seorang yang jujur dan ikhlas.

“Saya akan sokong Nabil dan berharap peminat memberi semangat kepadanya. 

“Saya dan Nabil sudah 15 tahun bersahabat. Ketika berdepan kesukaran dalam perniagaan ketika pandemik COVID-19, Nabil datang membantu saya. Dia adalah sahabat sejati,” katanya.

Kontrak Nabil sebagai duta pakaian tak terganggu.

Sebelum ini tiga penyampai pagi Era iaitu Nabil, Azad Jazmin dan Radin mencetus kontroversi apabila didakwa mempersendakan agama Hindu.

Susulan itu, Kementerian Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan kakitangan stesen radio milik Astro itu.

SKMM tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan stesen radio Era FM. Namun, memutuskan stesen radio berkenaan didenda RM250,000 kerana memuatkan kandungan jelik melampau di TikTok. 

Kompaun dikenakan ke atas syarikat berkenaan atas kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Namun, sehingga kini, Nabil, Azad dan Radin masih lagi digantung tugas sehingga siasatan dalaman selesai.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain