suria

Nabila Razali gementar rakam ‘Raya Mana’ versi Kelantan, belum mahir dialek kampung suami

Nabila tampil menyanyikan semula lagu Raya Mana dalam versi dialek Kelantan.

ATAS permintaan ramai penyanyi Nabila Razali tampil dengan versi baharu lagu Raya Mana dalam versi dialek Kelantan bersama Den Manjo.

Gementar merakamkan versi itu, Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 33, berkata dia tidak fasih bertutur dialek Kelantan walaupun suaminya berasal dari negeri berkenaan.

"Bagi sesiapa menanti lagu ini dalam versi Kelantan bersama Den Manjo, permintaan anda sudah saya tunaikan.

Nabila berduet dengan Den untuk Raya Mana versi Kelantan.

"Sejujurnya saya agak gementar menyanyikan lagu ini kerana dialek Kelantan bukanlah bahasa pertama saya.

"Sampai sudah ada anak pun saya masih belum fasih bertutur dalam loghat negeri itu tapi tidak mengapa, mula-mula menyanyi dulu, lepas itu mana tahu boleh fasih," katanya kepada mStar.

Bagi memastikan sebutan dilontarkan tepat, Nabila mendapat bimbingan daripada Den bagaimana hendak menyebut perkataan dalam dialek Kelantan.

Jelas Nabila perkara itu dilakukan agar nyanyiannya tidak kedengaran canggung.

ARTIKEL BERKAITAN: Nabila Razali belum sedia kongsi wajah dan nama anak, ada perasaan bimbang tentang penyakit ain

ARTIKEL BERKAITAN: Nabila Razali mudah menangis sejak bergelar ibu, tak boleh tengok video sedih

"Saya tanya sama ada sebutan saya ini betul atau tidak sebab takut salah, Den pun banyak berkongsi cara pertuturan orang Kelantan.

"Insya-Allah, saya harap orang Kelantan tidak marah kalau saya tersalah sebut," ujarnya.

Dengan pelancaran Raya Mana versi Kelantan, penyanyi itu mengharapkan ia dapat memberikan keceriaan dan menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Tahun lalu, lagu Raya Mana berjaya menjadi antara lagu raya yang 'trending' dan tular di media sosial.

Nabila belajar dialek Kelantan dengan Den.

Malah, lagu tersebut sudah mencapai lebih 20 juta jumlah tontonan di YouTube selepas setahun diterbitkan.

Nabila turut mendapat pujian ramai apabila mempersembahkan lagu Raya Mana dalam versi bahasa isyarat yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

Untuk rekod, Nabila mendirikan rumah tangga dengan usahawan Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November 2023.

Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki pada 23 Disember tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain